Wednesday, July 24, 2024

Nafi dan nafi punya alkisah

 

Mohsin Abdullah

Diberitakan berkata si Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa telah diadakan pertemuan antara pemimpin utama PAS dan Umno. Tujuan pertemuan kata beliau ialah membincangkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Fadhli tidak pula menamakan pemimpin utama Umno yang dikatakan hadir pada pertemuan yang beliau cakapkan itu. Nama pemimpin partinya pun tidak didedahkan. Begitu juga bila dan di mana pertemuan diadakan. Bagi saya kalau banyak sangat rahsia buat apa dedah in the first place?

Pun begitu beliau dipetik media berkata pertemuan dibuat secara tidak formal — 

Ia perbincangan itu ada dan ia bukan satu gerakan tetapi lebih kepada harapan. Ia membabitkan pemimpin utama Umno. Dan dalam pertemuan itu mereka mengharapkan agar kerjasama dengan PAS, dapat bersatu kembali. Cuma mereka tidak berani melawan apa yang diputuskan presiden Umno.
 Yang diputuskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ialah BN gabungan yang Umno tulang belakangnya akan kerjasama dengan Pakatan Harapan menghadapi PRU16. Beliau juga pengerusi BN.

Dalam membuat pendedahan akan pertemuan PAS-Umno itu, Fadhli beritahu media kononnya pemimpin utama Umno yang hadir menyatakan rasa ‘serba salah’ bekerjasama dengan kerajaan perpaduan yang dikatakan ‘merugikan’ Umno. Saya merasa pelik mengapa PAS mendedahkan pertemuan itu. Tidakkah pendedahan itu bagai satu isyarat atau tip off kepada Umno untuk bertindak pantas mematahkan apa jua perancangan yang diatur? Bukankah lebih baik Fadhli kunci mulut untuk catch Umno leadership off guard apabila tiba masanya?

Atau adakah PAS sengaja membuat pendedahan untuk memecahkan lagi Umno yang kita tahu ada puak anti presiden didalamnya. Atau untuk kacau perpaduan dalam kerajaan? Bagi saya apa yang didedahkan Fadhli ialah satu dakwaan walau apa pun niatnya. Lalu persoalan susulan ialah adakah dakwaan itu benar?

Muncul Asyraf Wajdi Dusuki si setiausaha agung Umno menyangkal wujud perbincangan kerjasama PRU16. 

Saya selaku SU pun tak tahu. Kalau nak bincang, bincang dengan kepimpinan. Kalau bincang dengan ahli semua boleh bincang,
 kata beliau dipetik FMT. Imbau dakwaan Ketua Penerangan PAS. Kata beliau pertemuan membabitkan ‘pemimpin utama’ bukan ahli biasa.

Apa pun kata Asyraf lagi: 

sebelum ini pun pernah dengar pimpinan PAS bincang dengan pimpinan Pakatan Harapan.
 Ini beliau rujuk khabar angin mengenai perkara itu tempoh hari yakni pemimpin tertinggi PAS bertemu pemimpin utama PH konon bertujuan mahu menyertai kerajaan perpaduan.

Khabar angin itu tidak dinafikan jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil. Namun beliau juga tidak mengesahkannya. Sebaliknya beliau berkata terdapat banyak ‘perbincangan’ antara kerajaan dan pembangkang khususnya dengan pemimpin negeri. Kata-kata itu tidak membantu untuk mematikan spekulasi.

Adakah Fahmi sengaja membiarkan isu terus terbuka untuk ‘merisaukan’ Bersatu dan mengganggu gugat perkongsian Perikatan Nasional antara PAS dengan Bersatu? Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tangkas dengan penafian dan berkata PAS tidak berhasrat menyertai kerajaan perpaduan.

Beberapa minggu lalu timbul pula laporan Malaysiakini yang memetik sumber dalaman MCA memberitahu akar umbi parti mendesak pucuk pimpinan supaya MCA keluar daripada BN. Adakah apa yang sumber itu beritahu Malaysiakini benar? Atau bertujuan ‘menggertak’ pimpinan BN (dan juga PH) supaya melayan MCA dengan lebih baik khususnya membawa masuk pemimpin parti ke dalam pentadbiran PMX?

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menafikan akar umbi parti memberi tekanan kepada pucuk pimpinan untuk membawa keluar parti daripada BN. 

Tidak benar. Tidak ada perbincangan sebegitu dalam parti,
 katanya seperti dilapor FMT. Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir pula menyifatkan dakwaan MCA keluar BN hanya khabar angin.

Ini pula cerita terbaru. Tular satu catatan di media sosial yang mengatakan kerajaan Pahang sedang goyah dan akan terbentuk pentadbiran baharu. Cerita seperti ini yakni kerajaan akan tumbang dan diganti kerajaan baharu memang biasa kita dengar. Cuma kali ini bezanya ialah catatan itu mengaitkan anak ‘bossku’ yang dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional.

Muncul Nizar Najib dengan berkata 

pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali
. Katanya lagi mustahil untuk beliau berkomplot mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya bersama-sama ahli Umno sejak parti itu ditubuhkan pada 1946. Nizar ialah Adun Peramu dan anggota exco dalam pentadbiran Wan Rosdy Wan Ismail si menteri besar Pahang.

Kata orang “there’s no smoke without fire“. Orang Melayu memilih peribahasa “kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang”. Kita semua tahu maksudnya. Kerap kali peribahasa itu didapati benar. Tetapi sering juga berlaku pokok bergoyang bukan kerana ditiup angin tetapi kerana ada ‘kutu’ yang goncang batang pokok. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.