Tuesday, July 23, 2024

Pemimpin PN jumpa bekas PM Singapura, bincang akta antilompat parti

 


Bekas perdana menteri Singapura yang kini merupakan menteri kanan negara itu, Lee Hsien Loong yang sedang dalam lawatan kerja rasmi ke Malaysia berjumpa dengan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) membincangkan pelbagai isu termasuk akta antilompat parti, kata Hamzah Zainudin.

Kata Hamzah, Lee berminat mahu mendengar pandangan ahli parlimen PN pelbagai isu lain termasuk kos sara hidup.

"Menteri kanan yang juga merupakan bekas perdana menteri Singapura juga berminat untuk mendengar dengan teliti pandangan ahli-ahli parlimen PN berkaitan isu-isu dalam negara seperti kos sara hidup dan dasar percukaian negara, selain isu panas berkaitan undang-undang antilompat parti yang turut mendapat perhatian khusus beliau," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahli parlimen PN yang hadir termasuk Radzi Jidin, Saifuddin Abdullah, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Khairil Nizam.

Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata pelbagai perkara telah dibincangkan antaranya berkaitan langkah-langkah untuk memperkukuhkan hubungan bilateral Malaysia dan Singapura dalam semua aspek.

"Kami juga berbincang berkaitan isu-isu serantau dan geo-politik antarabangsa yang memberikan impak besar terhadap kedua-dua negara.

"Pertemuan ini amat bermakna dalam konteks hubungan dua hala kedua-dua negara dan bagi pihak keluarga besar ahli parlimen PN saya merakamkan penghargaan buat Lee serta delegasinya," katanya.

Lawatan rasmi itu diadakan secara rasmi bermula 19 Julai tamat pada hari ini.

Delegasi Lee itu turut disertai isterinya, Ho Ching, Menteri Kanan bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Tenaga Manusia Singapura Zaqy Mohamad serta Menteri Kanan bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan negara jiran itu Low Yen Ling. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.