Tuesday, July 16, 2024

Politikus 'terpaling benar' di Malaysia

Pepatah lama memperingatkan selalulah berhati-hati dengan manusia “post-truth,” yakni yang pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar! Di situ sama ada seseorang itu bodoh atau pandai, kedua tidak berguna apabila sudah tidak waras—tidak bersandar kepada fakta, bukti atau hujah.

Dalam bangsa Eropah seperti Jerman, keadaan “post-truth” (pascakebanaran), juga dipanggil sebagai “post-faktisch,” yang bermaksud “pasca-fakta.”

Politikus yang menggunakan kaedah sebegitu biasanya terlihat sebagai “terpaling benar.”

Perkataan “terpaling” yang mulai dipakai segelintir di antara kita mutakhir ini tidak lain semacam sebuah sindiran. Ia bukanlah bermaksud seseorang itu memang sesungguhya berperilaku benar atau berhujah dengan fakta tapi, bersandiwara dan poyo semata.

Kita masih belum punya panggilan tepat untuk merumuskan jenis politikus terpaling benar. Namun dalam kajian politik semasa, gejala itu dianggap fenomena era pascamoden; dan istilah “post-truth” itu sendiri diterima sebagai perkataan tahunan pada 2016 oleh Kamus Antarabangsa Oxford.

Baru setahun dua beberapa buku yang membincangkannya diterbitkan seperti “Post-Truth Society” (2022) oleh Arpad Szakolczai, “Post-Truth: How Bullshit Conquered the World” (2017) oleh James Bill, atau yang paling diperkatakan, yang ditulis seorang ahli akademik Amerika, Lee Mclntyre, bertajuk “Post Truth” (2018).

Antara contoh politik pascakebenaran yang dibawakan dalam buku Mclntyre ialah dakwaan Donald Trump terkait acara angkat sumpah presiden pada 2017 di Bangunan Capitol. Bagi Trump angkat sumpah dialah yang paling ramai disertai rakyat Amerika; lebih hebat berbanding acara sewaktu Barrack Obama pada 2009.

Ketika dibuktikan dengan fakta berfoto bahawa Trump temberang, pasukan Trump menerbitkan pula foto alternatif yang disunting bagi mempertahankan ‘fakta’-nya. Aneh apabila penipuan atau apa yang disebut sebagai “fakta alternatif” sedemikian masih diterima oleh bukan sedikit warga Amerika.

Di Malaysia, keadaan paling jelas untuk mewakili politik pascakebenaran ialah ketika Presiden PAS Abdul Hadi Awang dari dalam keretanya menyatakan dengan nada tinggi “sudah cukup jumlah!”

Ia berlaku ketika proses pembentukan kerajaan selepas PRU-2022. Tambah Hadi lagi, “melebihi dari cukup!”

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin juga mengumumkan partinya sudah menang PRU pada malam pengiraan undi 9 November 2022. Muhyiddin bahkan sudah siap untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi proses pembentukan kerajaan dengan dia bakal kembali menjadi perdana menteri.

Di situ jelas sekali ciri-ciri politik pascakebenaran dengan penciptaan “fakta alternatif.” Caranya persepsi dibentuk terlebih dahulu sebelum kenyataan atau fakta disesuaikan dengan persepsi yang sudah dibentuk.

Maknanya bukan andaian yang mengekori fakta, tapi faktalah yang perlu sesuai dengan kebohongan. Dalam kata lain, politik pascakebenaran perlu mewujudkan kekeliruan sebagai asas untuk menang.

Misalan politik terpaling benar ini juga dapat diamati ke atas seorang ahli parlimen dari utara Johor, yang berlari ke parlimen bulan lalu. Alasan yang diberikan ialah untuk mengutip derma bagi keperluan di kawasan.

Sekalipun di pihak kerajaan menjelaskan sejumlah RM2.4 juta sudah diperuntuk dan disalurkan untuk 60 projek di Muar tetapi persepsi yang tetap dimainkan ialah warga Muar terus dianiayai oleh Putrajaya.

Kebenaran bukan lagi di atas angka dan fakta namun ditentukan oleh jumlah kutipan derma yang dikumpul.

ADS

Sasaran awal dilaporkan ialah RM100 ribu. Selepas empat hari berlari sejauh 175 batu, dia memperolehi RM160 ribu. Apakah maknanya?

Ya, maknanya lagi banyak kutipan, maka kebohongan konon orang Muar dianiaya akan dilihat semakin benar. Sekali lagi sebesar apa pun dana yang diberikan oleh Putrajaya—termasuk juga kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis—itu tidak lagi bermakna dan tidak dilihat sebagai fakta teras. Seperti Trump, mereka sudah menciptakan apa yang dipanggil “fakta alternatif.”

Semakin jauh dia berlari, semakin banyak laporan media, semakin laju tanda suka atau RT yang diperolehi di media sosial, di situlah yang membuktikan dia terpaling benar. Dua minggu kemudian, si polan yang sama kantoi menipu menang di podium ketiga acara marathon di Desaru, tapi itu sudah tidak penting kerana dia awal-awal sudah memuat turun foto menjulang piala untuk meresap ke dalam benak masyarakat.

Mengenai kebenaran palsu yang dicapai dengan jalan populariti, kita juga dapat melihat wujudnya politikus yang tiba-tiba menjadi penyampai radio, pelakon iklan, drama TV, model baju raya, berlagak seperti atlet negara dan sebagainya. Semua itu mudah dilakukan meski mereka tidak punya bakat dan kemampuan setara mana.

Kemaruk gelaran

Kalau satu masa dahulu gelaran seperti “Bapa Kemerdekaan,” “Bapa Perpaduan,” “Bapa Kemajuan” diberikan kepada pemimpin atas jasa-jasa besar, namun di era pasca-kebenaran, julukan sudah berubah fungi dengan tanpa kecemerlangan khidmat apa-apa.

Orang politik ‘terpaling benar’ pun kemaruk dipanggil “bossku,” “abah,” “ayahanda,” “pak long” dan entah apa lagi. Semua julukan bersifat sangat peribadi, yang biasanya diguna hanya sesama anggota keluarga atau syarikat kecil.

Sekalipun dia benar-benar seorang abah atau pak long, ia bukan urusan atau tak ada kena mengena langsung dengan kepentingan rakyat dan negara. Kalau pun abah, tapi misalkan menyebabkan negara rugi ratusan juta kerana terlebih beli vaksin, sepatutnya tetap dilihat bersalah.

Sedar atau tidak, julukan keterlaluan tanpa pingat kebesaran samalah seperti yang dilakukan oleh diktator Nazi Jerman, Hilter yang mahu dipanggil “fuhrer” bermaksud “pemimpin” atau “pembimbing.” Bukankah kerana fuhrer itulah tercetusnya perang Dunia ke-II?

Kebohongan, hal-hal yang tidak berasas serta merekayasa fakta dapat disampul bersifat kulitan. Sekiranya dalam tradisi Islam, pakaian seperti serban, kopiah, jubah atau waima berjanggut sepatutnya selalu mengingatkan kita kepada batas agar tidak melakukan amalan keji.

Tapi sekarang berseban, jubah dan berjenggut tebal jadi ikutan fashion hipster semata. Dengan imej Islamik itu juga orang mencerca tanpa kenal batas, dan memfitnah tanpa kenal dosa lagi.

“Kala mana di masa penipuan universal,” seperti kata George Orwell, “bercakap benar akan menjadi aksi yang revolusioner.”

Dan “masa penipuan universal” atau akhbar itu yang sesungguhnya terlebih dahulu diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Riwayat Ibn Majah sebagai waktu di mana “kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai), dan didustakan percakapan orang yang benar.” - Mkini


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.