Tuesday, July 16, 2024

PRK Nenggiri: Pemimpin PKR, DAP mahu kempen perlu lalui tapisan Ku Li

 

kuli n jazlan
Tengku Razaleigh Hamzah akan bertindak sebagai pengarah Umno bagi PRK DUN Nenggiri manakala Ahmad Jazlan Yaakub dilantik pengarah operasi.

PETALING JAYA
Umno Kelantan menetapkan pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan yang ingin turun berkempen pada PRK DUN Nenggiri perlu ditapis bagi kebenaran oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahmad Jazlan Yaakub.

Razaleigh, ketua Umno Gua Musang atau lebih dikenali Ku Li dilantik pengarah Umno bagi pilihan raya 17 Ogos itu manakala Ahmad Jazlan bertindak pengarah operasi.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata proses tapisan itu turut terpakai kepada semua pimpinan tertinggi dari PKR, DAP dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan ucapan pada kempen menjejaskan peluang merampas kerusi terbabit.

“Dalam kempen PRK Nenggiri siapa sahaja pemimpin dari parti kerajaan Perpaduan boleh datang bantu menangkan calon BN, cuma kena ada tapisan dari Ku Li dan Ahmad Jazlan.

Zawawi Othman
Zawawi Othman.

Tujuan tapisan itu dibuat mengambil kira pengalaman kempen lalu, ada penceramah bila berucap tidak menguntungkan parti dan menjejaskan peluang menang,
 katanya kepada FMT.

Menurutnya, Umno Kelantan berpendapat tapisan itu perlu bagi memastikan kempen sesuai untuk kumpulan sasar dalam memenangi PRK yang diibaratkan sebagai satu peperangan.

Kita kalau nak berucap dalam kempen kena tahu perancangan, tajuk, siapa sasaran dan cara ceramah…contohnya dengan orang Orang Asli ada caranya berbanding pengundi Melayu serta Cina,
 katanya.

PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pada Pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

Menurut Bersatu, keahlian Azizi dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dipilih Adun Nenggiri pada PRN Ogos tahun lalu selepas menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Difahamkan, Umno Gua Musang hanya mengemukakan nama Ketua Pemudanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk dipertimbang mewakili BN pada PRK DUN Nenggiri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.