Saturday, August 3, 2024

‘Perang’ Nenggiri bermula

 

hishamuddin-aun

Selamba je Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor ‘menganjing’ Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi yang menawarkan pelbagai projek kepada penduduk menjelang PRK Nenggiri pada 17 Ogos sebagai gula-gula memancing undi – sesuatu yang bukan lagi asing akhir-akhir ini.

Antara ketawa kecil menyindir, Sanusi merujuk kepada janji timbalan perdana menteri bahawa semua projek pembangunan Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang akan disegerakan demi kebaikan komuniti dan semua penduduk di Nenggiri.

Sambil menolak ia diumumkan semata-mata menjelang PRK, Zahid berkata dalam majlis pecah tanah bagi mewujudkan jalan yang akan menghubungkan Kuala Betis dengan Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Balar pada 30 Julai bahawa ia menyerlahkan kerajaan perpaduan komited dalam menekankan pembangunan Orang Asli di kawasan tersebut. Zahid juga mengumumkan pembinaan Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Gua Musang.

Apa pun alasan diberikan, kecenderungan kerajaan menabur janji projek menjelang sesuatu PRK – yang sering mendapat teguran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) — dilihat sebagai satu kelaziman untuk memikat hati pengundi yang bagaimanapun tidak menjanjikan kemenangan kepada calonnya.

Pada 4 Julai lalu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah mengumumkan dua projek — mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah Tamil di Sungai Bakap — jika calon Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menang. Namun, disebabkan kalah, tiada apa lagi didengar mengenai kedua-dua projek berkenaan.

Barangkali itu yang mendorong Sanusi membuat sindiran tersebut dengan kesedaran BN akan menghadapi kesukaran menangkis naratif bakal dibawa PN berkaitan keprihatinannya terhadap susah-payah rakyat dengan kos sara hidup dan harga barang yang meningkat.

DUN tersebut (Nenggiri) sejak merdeka dimenangi BN. Tiba-tiba presiden BN cakap kalau menang di situ akan buat macam-macam sehingga tujuh atau lapan tawaran. Kenapa tak buat masa wakil rakyat BN perintah, baru kalah sekali dan terus datang tawar macam-macam. Masa tujuh lapan penggal wakili penduduk situ, kenapa tak buat? Saya pun pening dengan dia ni (Zahid),
 tempelak Sanusi pada Khamis.

Penganalisis pula berpandangan tawaran projek pembangunan oleh mana-mana pihak tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi, dengan Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata kebanyakan pengundi di kawasan itu dijangka mengutamakan sentimen kepartian yang membawa imej Islam dan Melayu.

Pengumuman projek boleh untungkan pengundi jika calon dipilih mempunyai akses sumber kerajaan pusat seperti Ahli Parlimen dan menteri. Jika tidak sulit untuk mendapatkan projek terutama sebagai pembangkang di negeri tidak kaya seperti Kelantan,
 kata Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula.

Hari ini adalah penamaan calon bagi PRK Nenggiri, dengan BN sudah mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon manakala PN menamakan bekas pegawai tentera laut Mohd Rizwadi Ismail, bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang yang menyertai Bersatu atas restu parti lamanya.

Pada 1 Ogos, FMT memetik sumber sebagai mendakwa ahli akar umbi Bersatu di Kelantan tidak gembira dengan keputusan parti menampilkan seorang bekas ahli PAS sebagai calon tetapi menambah hakikat harus diterima bahawa kehadiran Bersatu di Gua Musang adalah kecil manakala PAS sangat berpengaruh di seluruh Kelantan.

Menolak PN ada masalah berkaitan calon, Sanusi menegaskan: 

Saya rasa tidak ada isu apa bab calon. Di Kelantan, kami ada logo PAS, PN tapi logo PAS. Unik sikitlah Kelantan, Terengganu. Calon (daripada) Bersatu, bukan calon PAS (tapi guna lambang bulan). Tu menteri besar Kelantan kata Bersatu PAS, PAS Bersatu. Umno DAP, DAP Umno. Kita senang je boleh PAS boleh Bersatu. Depa pun sama boleh Umno boleh DAP.

Zahid awal-awal lagi menjangkakan isu penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu akan dijadikan bahan kempen utama PN pada PRK Nenggiri – sama seperti di Sungai Bakap. Cuma beliau yakin penduduk Gua Musang khususnya di Nenggiri, terutama masyarakat Orang Asli, sudah matang dan rasional melibatkan isu tersebut.

Fitnah dan tohmahan juga dijangkakannya diteruskan pembangkang di samping ia menjadi cabaran buat jentera kerajaan perpaduan diketuai veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengarah PRK Nenggiri untuk menangkisnya selain penerangan diperhebat.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam ceramahnya di pelancaran jentera PRK Nenggiri di Limau Kasturi pada 20 Julai mengajak pengundi Nenggiri memberikan kemenangan besar kepada PN yang akan menjadi amaran rakyat di peringkat akar umbi tidak bersama kerajaan perpaduan.

Keputusan itu akan mewakili sebahagian besar rakyat negara ini yang mahukan kerajaan perpaduan turun dari tampuk pemerintahan serta-merta. Turun bukan dalam tempoh seminggu, sehari dua…tetapi 24 jam selepas PRK Nenggiri ini,
 katanya.

Awalnya ia mencetuskan kekecohan juga di pihak BN apabila Tengku Razaleigh dilaporkan meminta DAP tidak turun atau menjauhi kempen PRK berkenaan. Ia kemudian diperjelaskan oleh ketua Umno Gua Musang itu bahawa tiada keperluan DAP berkempen kerana Nenggiri adalah kawasan 100% Melayu.

Pada masa sama BN turut menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan mana-mana unit daerah mengundi (UDM) menjemput empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk tampil di pentas ceramah sepanjang PRK DUN Nenggiri. Menjelaskan itu palsu, ia dianggap hanya mainan politik untuk memecah-belah perpaduan dalam kerajaan sekarang.

Kenyataan bertarikh 24 Julai menggunakan nama Zahid itu turut menyenaraikan nama Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi kononnya tidak dibenarkan tampil di PRK Nenggiri kerana mengambil iktibar kekalahan di PRK Sungai Bakap.

Ia akan menarik juga untuk diperhatikan bagaimana cerdik-pandai dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh – terdahulu menyalahkan Rafizi atas kekalahan di Sungai Bakap dan menghentam Lokman kerana menggelar ahli exco Melaka itu sebagai jurucakap PN – sepanjang berkempen.

Mampukah kepetahannya memikat hati pengundi Nenggiri yang sukar menerima bukan daripada kalangan ‘sek-sek ambo’ atau Akmal yang anak buahnya akan menjadi calon, tidak terhindar daripada membawa kekalahan juga.

Apa pun, Nenggiri adalah kawasan gelombang hijau di sebalik calon PN hanya menang ke atas calon Umno pada PRN tahun lalu dengan majoriti 810 undi dan ia akan memerlukan semacam suatu keajaiban untuk BN membirukannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.