Semua watak dalam penulisan ini saya kenal. Ada yang saya sifatkan sebagai kenalan dan ada merupakan kawan. Dan mereka pula berkawan antara satu sama lain bertahun lamanya. Oleh itu apa yang terjadi ini amat menyedihkan.
September lalu Leslie Lopez, wartawan Malaysia yang pernah bekerja untuk banyak media antarabangsa menerbitkan bukunya berjudul ‘The Siege Within’ mengenai skandal 1MDB. Hanya dengan membaca prolognya sudah cukup untuk meyakinkan saya ‘this is going to be a good read’. Memang pun. Buku ini duduk di atas senarai ‘best seller’ sekurang-kurangnya dua kedai buku terkemuka untuk beberapa minggu.
Buku ini bukan sahaja mendedahkan penipuan dan penyelewengan wang terbesar yang dilakukan ke atas negara ia juga mengisahkan kombinasi permainan politik dan kewangan berlaku sekian lama yang membolehkan skandal 1MDB terjadi.
Lopez mengambil masa empat tahun mencari maklumat, berjumpa sumber serta meneliti dokumen bertimbun-timbun sebelum memulakan penulisan. “Semasa menulis pun ada informasi yang saya bongkar,” katanya. Ada tokoh terkenal yang namanya disebut dalam buku ini. Beberapa kali dengan jelas. Yakni selain Najib Razak dan Jho Low.
Pada 1 Okt lalu The Edge melancarkan buku sempena ulang tahunnya yang ke-30. Buku bertajuk ‘Behind the Stories’. The Edge, penerbitan terunggul mengenai kewangan dan perniagaan terkenal dengan siri laporannya mengenai 1MDB yang tidak menyenangkan kerajaan waktu itu. Sehingga Najib Razak menggantung pengeluarannya. Dalam erti kata lain keluar arahan henti operasi.
Maka tentulah bab yang menjadi daya penarik dalam buku ‘Behind the Stories’ ialah Chapter 8 berjudul ‘1MDB, The Edge and I: Beyond Reporting News’ ditulis oleh Tong Kooi Ong, pemilik The Edge Media Group.
Tidak kurang menarik ialah tulisan Tong di luar buku yakni di akhbar mingguan The Edge Malaysia keluaran 14 Okt lalu. Ia merupakan surat terbuka beliau kepada Lopez diberi tajuk ‘A rebuttal to Leslie Lopez’s allegation of a political conspiracy and his claim that he wrote the first major news expose on 1MDB’.
Mengambil kira konteks artikel ini saya tumpukan perhatian kepada bahagian kedua tajuk surat terbuka itu. Tong menolak dakwaan Lopez dalam buku ‘The Siege Within’ bahawa artikel ditulis Lopez pada Julai 2013 adalah ‘pendedahan besar’ pertama mengenai skandal 1MDB.
Kata Tong The Edge Weekly pada 1 April 2013 menyiarkan cerita muka depan mengenai skandal itu semasa ‘semua media arus perdana memberikan imej baik kepada 1MDB dan Jho Low sendiri’.
Kesimpulannya apa yang Tong kata ialah The Edge mendahului Lopez mendedahkan skandal 1MDB.
Muncul wartawan veteran P Gunasegaram dengan penulisannya dalam portal berita bisnes Kinibiz. Kata Gunasegaram ‘of course both of them (Lopez dan Tong) can’t be right but it turns out in this case both of them are wrong’.
Menurutnya, pembaca yang beri tumpuan penuh atau ‘attentive’ akan tahu yang pertama buat pendedahan skandal 1MDB ialah Kinibiz yang waktu itu baru ditubuhkan dan Malaysiakini yang menyiarkan laporan Kinibiz.
Kata Gunasegaram, Kinibiz dan sekali gus Malaysiakini menyiarkan siri lapan laporan bermula 26 Mac 2013 dengan judul ‘1MDB a giant Ponzi scheme or strategic investment fund?’. Gunasegaram ialah pengasas Kinibiz.
Waktu menjadi tetamu rancangan ‘The Breakfast Grille’ siaran radio BFM 24 Okt lalu Lopez ditanya akan penafian Tong terhadap penulisannya berhubung pertama kali pendedahan 1MDB dibuat.
Lopez jelas tidak berminat dibawa ke dalam kontroversi itu kecuali berkata: “Saya tidak bersaing dengan sesiapa yang tulis dahulu. Yang penting cerita 1MDB disiar dan ia mencetuskan perubahan politik di negara ini”.
Benar yang penting pendedahan walau siapa pun yang tulis terdahulu. Dan bagi saya semua yang terbabit dengan penulisan skandal IMDB, termasuk Lopez, Tong, Gunasegaram juga Ho Kay Tat, ketua pegawai eksekutif The Edge yang bertungkus-lumus membongkar dan mendedahkan skandal itu layak diberi pujian. Penat-lelah mereka dihargai. Tidak lupa sumbangan ‘runners’ yang membolehkan cerita ditulis. Oh jangan lupa juga Sarawak Report dan editornya Clare Rewcastle Brown. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.