Saturday, October 26, 2024

Ada puak, ada kem, ada regu – salah ke?

 

Mohsin Abdullah

Setelah berbelas mungkin berpuluh kali Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin, Peja juga Azmin Ali- semuanya pemimpin tertinggi parti menegaskan tidak ada puak atau kem dalam Bersatu timbul seorang lagi pemimpin dengan versinya tersendiri.

Saifuddin Abdullah pemimpin profil tinggi yang kini menjadi pengerusi Bersatu Pahang bercakap dalam konteks pemilihan parti yang akan diadakan bulan depan. Beliau menafikan ‘dakwaan’ atau pada hemat saya ‘pandangan’ beberapa pihak bahawa pemilihan Bersatu bakal mencetuskan perpecahan dan mewujudkan kem dalam kalangan calon bertanding.

Namun, dalam membuat penafian Saifuddin pada masa sama mengakui “jika ada team atau kem sekali pun ia tidaklah sampai mencipta perpecahan kerana pemilihan parti adalah proses biasa dalam demokrasi…kita bertanding sesama kita seperti adik-beradik sahaja”.

Kata-kata itu biasa kita dengar. Pemimpin parti politik sering berkata demikian. Bukan hanya pemimpin Bersatu. Persoalannya ada ke ‘team’, puak, regu, kem dalam Bersatu? Kalau ikut apa yang Saifuddin kata beliau tidak menolak wujudnya kem. Kan beliau kata “jika ada team atau kem sekali pun”. Maknanya ada.

Sebenarnya semua parti politik ada pasukan dan kem masing masing. Ada ‘clique’. Malah dalam syarikat besar pun ada ‘team’ dalam kalangan pengurusan atau ‘board members’. Bukan sesuatu yang pelik dan aneh.

Pemimpin parti politik mencari rakan pemimpin yang sehaluan dengan idea dan wawasan dibawa. Ertinya mencari rakan ‘satu kepala’. Lantas tertubuhlah ‘team’ dan kem. Begitu juga keadaannya dalam kalangan pengurusan syarikat.

Dalam Bersatu bukanlah rahsia besar wujud kem dan regu walaupun dinafikan, dan ramai pemerhati dan penganalisis percaya pemilihan parti akan menyaksikan pertempuran kem. Pemimpin parti pun bimbang. Muhyiddin selaku presiden mengemukakan pelan damai yang tidak perlu saya huraikan lagi kerana umum sudah maklum.

Ringkasnya menurut pelan damai itu si polan dan si anu naik jawatan, pindah jawatan dan ada yang berkompromi. Tidak perlu juga saya sebut nama kerana umum dah tahu. Tetapi pelan damai nampaknya tidak mencipta damai sepenuhnya. Atau bagai yang diharapkan. Ada pemimpin Bersatu yang menawarkan diri untuk mendapat jawatan lebih tinggi daripada jawatan mereka duduki sekarang.

Ini dilakukan kata mereka berdasarkan hak bertanding dan amalan demokrasi dalam parti. Saya setuju dengan penulisan Hishamuddin Aun dalam kolum beliau di FMT tempoh hari apa yang berlaku dewasa ini ialah akibat sikap berdolak-dalik Muhyiddin yang gagal beri mesej jelas menjelang pemilihan parti.

Realitinya suhu dalam parti terus tinggi. Ada calon jawatan tertentu dikatakan mewakili pemimpin tertentu. Maksudnya perang proksi. Walaupun saya menyatakan kem dan puak dalam parti bukan sesuatu yang pelik dan aneh perlu ditegaskan mereka jangan dibiar bertindak ‘out of control’. Pertembungan antara kem boleh mengakibatkan ‘kisah sedih’.

Imbas kembali 1987. Ini cerita semua orang tahu. Umno ada ‘Team A’ diketuai Dr Mahathir Mohamad dan ‘Team B’ pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka berperang sengit. Akibat pertempuran dalam pemilihan Ku Li keluar parti dan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Sejak itu jawatan presiden Umno tidak dipertandingkan. Diizin menang tanpa tanding untuk elak perpecahan katanya. Tetapi kem tetap ada ‘until now’. Umno sekarang yang dipimpin Zahid Hamidi wujud kem. Ada puak presiden, ada puak antipresiden yang memendam rasa.

Pada 2015 pertempuran juga berlaku dalam pemilihan PAS antara golongan ulama dan kumpulan progresif. Berikutan itu tertubuh Parti Amanah Negara pimpinan Mohamad Sabu . Sejak itu PAS juga mengamalkan tiada pertandingan untuk jawatan ‘top 5’.

Penyokong Bersatu jangan bimbang kerana kata Saufuddin parti bertanding adik-beradik dan tak akan pecah ‘kalau ada team sekali pun’.

Apa pun bagi saya ‘team’ dan puak dan kem akan kekal dalam Bersatu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.