Thursday, October 24, 2024

Kabinet bayangan PN pelik, tak kemas tanpa bajet alternatif

 

Free Malaysia Today
Jumaat lalu, Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 iaitu perancangan perbelanjaan tahunan ketiga di bawah pentadbirannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Struktur ‘Kabinet bayangan’ Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak kemas dan sempurna tanpa menampilkan bajet alternatif 2025 untuk dibandingkan dengan belanjawan kerajaan perpaduan, kata penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata perancangan itu jika dibentangkan memberi gambaran kemampuannya mentadbir dan menandingi Belanjawan 2025 bernilai RM421 bilion dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, 18 Okt lalu.

“Pelik dan menunjukkan ada sesuatu tidak kemas dalam PN kerana mereka kata mereka mampu menggantikan kerajaan perpaduan.

“Rakyat boleh nilai sama ada kerajaan atau pembangkang lebih berwibawa mengurus fiskal negara,” katanya kepada FMT yang berpendapat PN harus memanfaatkan kelebihan beberapa bekas menteri dalam pimpinannya.

“Meskipun bukan mudah buat bajet alternatif tetapi dalam PN ada bekas menteri pentadbiran dahulu.”

Kelmarin, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze dari Pakatan Harapan berkata pembangkang wajar membentangkan belanjawan tersendiri agar sistem demokrasi sihat dan berfungsi, selain memainkan peranan semak serta imbang.

Namun Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari semalam menolak gesaan itu sambil menyifatkannya tidak relevan kerana memerlukan angka tepat berkaitan unjuran dan butiran pendapatan negara.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pihaknya hanya mengetahui unjuran dan butiran pendapatan negara disediakan pegawai Kementerian Kewangan menerusi pembentangan belanjawan, Jumaat lalu,

Pada Feb 2023, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan ‘Kabinet’ gabungan itu yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Turut diwujudkan jawatankuasa portfolio bagi Ahli Parlimen berdasarkan latar belakang wakil rakyatnya dalam bidang masing-masing.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat PN mungkin tidak berminat membuat bajet alternatif disebabkan cadangan berkenaan ‘hanya akan dipandang sepi’ dan tidak akan diangkat oleh kerajaan.

“Tapi kalau pembangkan ada sumber tambahan mencukupi apa salahnya untuk buat bajet alternatif.

“Walaupun cadangan itu tak akan diterima oleh kerajaan tapi sekurang-kurangnya boleh timbul polemik, retorik yang bajet ini adalah kemungkinan kalau kita jadi kerajaan, ini yang kita akan lakukan,” katanya.

Syaza Shukri yang juga dari UIAM berkata meskipun tiada keperluan pembangkang berbuat demikian namun penyediaan bajet alternatif dapat meraikan demokrasi serta mengukuhkan proses semak dan imbang.

“Ia juga akan memberi kepercayaan kepada rakyat terhadap pembangkang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.