Friday, November 22, 2024

107 kanak-kanak GISBH disatukan dengan ibu bapa, kata menteri

 

rumah amal
Pada September, polis menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak antara setahun hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di rumah amal terkait GISBH. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA
Seramai 107 kanak-kanak diselamatkan daripada rumah amal terkait Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah disatukan semula dengan ibu bapa atau keluarga, setakat semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata semua kanak-kanak itu telah diberikan bantuan asas psikologi iaitu Psychological First Aid (PFA), berupa sistem sokongan psikososial awal dan praktikal dalam situasi krisis.

“PFA bukannya sesi kaunseling atau intervensi psikiatri, tetapi merupakan pendekatan psikologi berasaskan kepada membina harapan positif serta memberi ruang kepada kanak-kanak agar rasa difahami dan didengari,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Pada September, polis menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak antara setahun hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di rumah amal terkait GISBH. Serbuan mendedahkan dakwaan pengabaian dan penderaan.

Beberapa pimpinan tertinggi GISBH antara 58 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala ketua pegawai eksekutifnya, Nasiruddin Ali, dan 20 lain dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.