Tuesday, November 19, 2024

Acah-acah ‘old money’

 

Free Malaysia Today

Mutakhir ini gaya ‘old money’ menjadi popular dalam kalangan kita terutama pempengaruh media sosial. Istilah ‘old money’ merujuk kepada orang kaya yang mewarisi kekayaan keluarganya turun-temurun. Celik mata lahir sahaja tahu-tahu sudah kaya manakala ‘new money’ pula merujuk kepada orang yang menjadi kaya kerana usaha dan kerja keras sendiri tanpa ada sangkut-paut dengan harta warisan.

Biasanya kumpulan ‘old money’ ini dilihat tenang-tenang sahaja gaya, perawakan dan penampilan mereka. Pakaian mereka sudah tentulah mahal tetapi tidaklah terkini sangat fesyennya. Lebih kepada nampak ‘cool’ dan sederhana, tidak melambangkan kekayaan tetapi orang tahu ia mahal. Orang tahu mereka kaya tapi tak menunjuk-nunjuk. Kerana itu mereka dikagumi dan diidolakan. Hari ini gaya mereka mengenakan pakaian menjadi ikutan.

Satu sudut lain pula, ada antara kita terlalu bersusah-payah untuk dilihat macam orang kaya. Persoalannya kenapa kita sungguh-sungguh mahu dilihat kaya? Gaji tak seberapa tetapi pakai kereta hebat, pakaian pula berjenama gah dengan fesyen terkini tetapi hutang keliling pinggang. Kata orang Perak, ‘biar pape asal bergaye!’ Sebab secara psikologinya kita tidak mahu jatuh, kita mahu orang pandang tinggi juga kepada kita. Lalu kita pun ambil jalan pintas: berlagak macam orang kaya.

Sebab bagi kita, menjadi kaya itu yang membuatkan kita rasa kita ini wujud terutama dalam kalangan orang sekeliling kita. Keluarga dan sanak-saudara akan memandang hormat kepada kita apabila kita nampak macam orang kaya. Andai kita berkunjung ke rumah sanak-saudara pada Hari Raya dengan kereta mewah dan pakaian mahal, layanan terlebih istimewa akan diberi. Cakap-cakap kita akan diiyakan. Jenaka kita akan disambut dengan ketawa yang sungguh-sungguh.

Kehebatan kita itu akan disebarkan pula oleh mereka kepada kaum kerabat yang lain. Cerita rumah kita yang besar dan berlokasikan tempat orang ‘have-have’ akan menular dalam kalangan saudara-mara. Buat modal pak long dan mak long tumpang bangga walhal mereka tak tahu kita tercekik tiap-tiap bulan nak bayar hutang. Tak apa, janji boleh berlagak. Sudah begitu sifatnya. Cuba kita datang ke majlis kenduri dengan kereta tersengguk-sengguk, baju pula buruk – memang dia suruh kita duduk di ceruk sahajalah.

Saya faham sangat, saya pernah merasa. Berbeza layanan mereka kalau yang ‘have-have’ ini datang. Kalau yang (nampak) kaya itu sedekah sekeping not lima puluh, berbulan dia heboh cerita. Anak buah aku bagi duit! Anak buah aku kaya. Kita yang hari-hari ada depan mata tolong mereka ke sana ke mari ini tak dihairankannya.

Maka tak dapat tidak, kita mesti jadi kaya.

“Sekarang saya sudah jadi orang kaya. Saya mesti tukar cara saya punya jalan,” kata Ali Baba dalam filem P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok.

Sebab bila kaya ramai akan mengerumuni kita. Membodek kita. Semua mengaku akrab.

“Kamu semua pengampu orang kaya!” jerit pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok (arahan P Ramlee).

Memang resam manusia begitu. Bukan orang kita sahaja. Satu dunia bermata materialistik. Memandang harta. Silap-silap ada mak ayah yang membezakan layanan terhadap anak-anak mereka mengikut taraf hidup. Anak yang berkereta mewah disuruh parkir bawah garaj, yang kereta cabuk duduklah di halaman yang tak berbumbung. Kena panas kena embun. Ahai! Jangan kata ini tak berlaku, beb.

Tetapi kalau fesyen ‘old money’ ini menjadi trend, bermakna ia sudah tidak asli lagi. Gaya ‘old money’ itu pada asalnya terbentuk sendiri hasil daripada latar sosio mereka. Bagaimana mereka dididik dan dibesarkan, begitulah keperibadian mereka dibentuk. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ini bukan dibuat-buat.

Hari ini apabila ia menjadi trend bererti ia hanya ikut-ikutan. Tak asli. Ia hanya jadi-jadian. Orang sekarang kata, ‘acah-acah’. Acah-acah ini maksudnya ‘poser’. Ia tidak ada bezanya seperti kumpulan yang susah tadi yang beria-ia berlagak menjadi kaya tadi. Hanya gaya tanpa jiwa. Macam mat jiwa-jiwa mahu jadi rockers. Orang pakai rock dia pun pakai rock. Hanya ikut-ikut tapi tiada ‘attitude’.

Bercakap tentang gaya, dalam dunia sufi dahulu turut ditempelak oleh beberapa tokoh sufi terkenal apabila ada segelintir yang mendalami ilmu sufi cuba berpakaian lusuh, usang semata-mata untuk dilihat zuhud. Itupun ‘poser’ juga. Pulak! Nak bergaya jadi miskin pun tak boleh? Ha! Ha! Begitulah, kata guru saya. Jadi diri kamu sahajalah, itu lebih baik.

‘Old money’ atau ‘new money’ bagi saya perlu ada ‘class’. Bukan sekadar gaya tetapi perlu lengkap pakej budi bahasa, pemikiran dan amalan yang hebat. Cita rasa terhadap seni dan pemahaman terhadap budaya juga harus tinggi. Jadilah orang kaya yang melibatkan diri membangunkan budaya bangsa dan kemajuan negara dengan menyokong industri buku, filem, lukisan dan muzik, misalnya. Jadi penggerak industri tersebut untuk mengangkat negara di mata dunia. Barulah gah! Bukannya kaya, punya banyak wang dan harta tapi menjahanamkan adat dan budaya. Bukan beli dan pergunakan orang hanya sebab kita ada segalanya.

Kalau kita ada sepuluh orang ‘old money’ seperti apa yang saya bayangkan itu, saya rasa Malaysia akan jadi ‘lain macam’. Percayalah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.