Wednesday, November 27, 2024

Beras Cap Feri 5kg dijual RM15 mulai bulan depan

 

Free Malaysia Today
Menurut exco Pulau Pinang, Beras Cap Feri sedia dipasarkan selepas menerima kelulusan lesen pengoperasian kilang dan borong daripada Bahagian Kawal Selia Padi Beras KPKM pada 13 Nov lepas.

PETALING JAYA
Beras Cap Feri keluaran Pulau Pinang akan mula dijual pada harga RM15 bagi kampit 5kg di Jualan Agro Madani Pertubuhan Peladang bulan depan, menurut exco negeri.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol berkata, harga Beras Cap Feri yang menggunakan beras import itu adalah yang termurah di pasaran bagi kategorinya.

Katanya, beras ini sedia dipasarkan selepas menerima kelulusan lesen pengoperasian kilang dan borong daripada Bahagian Kawal Selia Padi Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 13 Nov lepas, setelah hampir enam bulan memohon.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan agensi yang akan memasarkan Beras Cap Feri melalui Jualan Agro Madani dan juga di premis peruncitan Fama dan Peladang di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada sidang DUN hari ini, lapor Bernama.

Fahmi berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan LPP bagi menjayakan kerjasama estet padi yang akan diusahakan sepenuhnya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), melibatkan kawasan berkeluasan 43.89 hektar, bagi menjamin hasil padi dijual terus ke kilang pengeluaran Beras Cap Feri.

Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Penang Agrotech Sdn Bhd, akan mula beroperasi pada 1 Jan dan penubuhannya diharap dapat membantu menjana pendapatan baharu untuk Pulau Pinang.

“Penang Agrotech bertindak sebagai pelaksana dan penyelaras perancangan, program dan aktiviti bawah Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersama-sama jabatan lain bawah portfolio itu,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, teknologi Internet Kebendaan (IOT) akan diaplikasikan di kebun-kebun durian menerusi kerjasama Penang Agrotech dengan Jabatan Pertanian Negeri, penyelidik dan persatuan pekebun.

Usaha ini dilaksanakan bagi membantu pengusaha mengurangkan kos, sekali gus meningkatkan hasil durian berkualiti tinggi, tambahnya.

“Sistem pemantauan ladang IOT ini dimulakan di sebuah kebun durian di Balik Pulau dan data digital yang dikumpulkan digunakan untuk memanfaatkan pengusaha dengan mengoptimumkan sumber air, baja serta racun perosak,” katanya.

Berhubung sektor agropelancongan, Fahmi berkata, projek Sedusun Valley di Relau, yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dijangka bermula awal tahun depan, dengan perbelanjaan RM48 juta yang diluluskan kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri juga memohon peruntukan khas daripada KPKM untuk membangunkan sektor agropelancongan di Stesen Padi Bukit Merah, Permatang Pauh, dan Taman Herba Bertam, Kepala Batas, katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.