Friday, November 22, 2024

Gred apa sesuai untuk pentadbiran Madani

 

faisal tehrani

Saya tidak akan menyanggah penilaian gred ‘D’ diberikan gerakan Bersih untuk kerajaan perpaduan. Akan tetapi saya juga tidak menerimanya bulat-bulat. Ada lima faktor yang harus dipertimbangkan untuk sebarang penilaian pun.

Pertamanya, ada satu cabaran besar untuk kerajaan perpaduan ini. Cabaran itu tidak dapat saya tuliskan di sini, kerana kucing saya menegah menulisnya. Menurut kucing saya, bayang-bayang dewata ada di muka bumi.

Keduanya, pentadbiran Anwar Ibrahim menggalas banyak masalah daripada pentadbiran lalu. Jika kita membuang era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein (kerana sewaktu itu belum lagi timbul idea reformasi), kita akan mendepani kenyataan bahawa ada banyak beban telah terjelma dari rentang masa lebih 40 tahun sejak zaman Tun Mahathir membawa ke era Ismail Sabri. Tentulah tidak adil rentang masa yang panjang tersebut hendak dikontotkan untuk dibetulkan macam-macam kesilapan masa lalu.

Ketiga, cabaran lain melakukan reformasi ialah sistem sedia ada yang sudah terlalu kusut. Misalkan sahaja kita menyorot reformasi yang ingin dilakukan dalam dunia kesusasteraan (katakan kita ingin membetulkan Dewan Bahasa dan Pustaka). Hampir mustahil untuk memerdekakan kesusasteraan Melayu daripada cengkaman elitis sastera yang syok sendiri, dan memikul cita-cita kalau Melayu itu nescaya wajiblah Islam. Cita-cita begini bermula dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kemudian masuk meresap dalam lapangan hidup yang lain.

Misalnya ia meresap masuk dalam bidang pendidikan. Anak-anak Melayu menghabiskan masa yang banyak menggelumangi ilmu agama di sekolah sejak beberapa dekad lalu, tetapi masalah pil kuda juga meningkat seiring. Anak-anak di sekolah Cina dan Tamil tidak ada beban seumpama yang disebutkan di atas. Itu baru satu, kalau diteropong apa pun lapangan, dan sektor kita akan jumpa masalah demi masalah, yang tercetus dari sistem yang merosakkan dan tidak dibetulkan sejak dari awal. Kemudian cita-cita Melayu-Islam dalam kebudayaan itu merebak lagi sehingga umat Islam di belahan dunia yang lain mentertawakan kita kerana menjadikan kalimah Allah itu khas untuk kegunaan diri kita semata-mata.

Ada banyak lain, tetapi kucing berpesan agar satu dua contoh memadai. Keempat, kesulitan yang ada di negara kita ini sehingga nampak macam mustahil untuk dirungkai ialah kerana penjawat awam itu sendiri. Kamaruzaman Jusoff dari UiTM ada menulis sebuah kajian yang sangat bagus bertajuk ‘Malaysian Civil Servants: Problems and Challenges’ lama dahulu. Beliau mendedahkan terdapatnya ‘kecurigaan bahawa beberapa agensi awam, termasuk beberapa bank milik kerajaan, telah membocorkan dokumen rasmi tertentu, manakala sebilangan penjawat awam memberontak terhadap kerajaan yang memerintah walaupun semasa menjalankan tugas rasmi mereka’.

Misalnya dalam tahun 1999, ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, seramai 650,000 penjawat awam mengundi pihak pembangkang. Dan selepas pilihan raya 2008, di mana status quo empat kerajaan negeri di Semenanjung diambil alih oleh pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, ‘wujud penjawat awam yang kesetiaannya tetap bersama kerajaan negeri BN sebelumnya’ dan ‘apabila perpecahan kesetiaan dalam kalangan penjawat awam menjadi lebih jelas, masalah dalam hierarki pentadbiran turut kelihatan’.

Dalam erti kata lain yang boleh dipersalahkan bukan semestinya pentadbiran Madani itu sendiri, barangkali ada elemen yang melambatkan, memustahilkan, atau menangguhkan berlakunya reformasi.

Itu belum dihitung lagi penjawat awam ini majoritinya Melayu, justeru Muslim, dan ramai pula dari Pantai Timur. Pada tahun 2018, Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa mengakui ramai daripada penjawat awam termasuk pegawai-pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Awam berasal dari Kelantan.

Katanya, hanyalah secara kebetulan 12.6% atau hampir 156,000 penjawat awam berasal dari Kelantan. Manakala dari segi pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam, ketua setiausaha dan juga ketua pengarah, 17% adalah berasal dari Kelantan.

Perihal ‘deep state’ atau daulah terpendam ini adalah rahsia umum, saya boleh menghuraikan lanjut poin ini tetapi kucing saya berpendapat cukuplah penjelasan di atas untuk golongan yang mahu berfikir.

Kelima, kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan campuran yang berbentuk eksperimen. Pakatan Harapan mungkin komited untuk melakukan reformasi. Di negeri-negeri yang dikuasainya sejak beberapa lama prestasi mereka tidaklah begitu buruk.

Akan tetapi, dalam kerajaan perpaduan ada Umno. Jika kita memandang Umno, kita akan mendapati ada dalam kalangan ahli parti ini yang masih memandang Najib Razak seperti wali.

Puak dari Sarawak semacam hanya memikirkan agenda mereka sahaja. Politik di Sabah pula tidak kunjung tamat dengan korupsi korupsi korupsi korupsi.

Janji reformasi seperti yang ada dalam kerangka gerakan Bersih sebenarnya ada pada Pakatan Harapan tetapi anggota parti dalam kerajaan perpaduan ini terikat oleh cabaran dan malapetaka situasi yang saya sebutkan di atas. Kalau mereka sendiri, mereka tidak boleh melakukannya.

Hakikatnya adalah Perikatan Nasional (PN) dengan cepatnya menuai gred ‘D’ itu dan menjadikan ia naratif seolah-olah gred mereka pernah ‘A’. Wan Saiful Wan Jan dalam monograf untuk ISEAS-Yusof Ishak, Singapura bertajuk ‘Why Did Bersatu Leave Pakatan Harapan?’ ada menyebutkan bahawa agenda reformasi ini sebenarnya hanyalah untuk masyarakat dan pengundi bandar dan separa urban yang berpendidikan. Untuk majoriti rakyat Malaysia tidak mengira kaum, reformasi akan tetap jatuh di bawah tapak kaki kucing. Yang lebih utama akan sentiasa mengenai bagaimana menangani masalah ekonomi, kos sara hidup, inflasi dan lain-lain yang sebetulnya masih tidak lepas dari lima faktor yang dijejerkan tadi.

Wan Saiful sekarang dalam blok PN, dia tahu masalahnya dari nombor pertama sampai kelima, dan dia tahu kerajaan perpaduan terikat dan tidak boleh lepas cakap mempertahan diri. Jadi gred D ini boleh dituai. Tak menghairankan jenis ahli politik seperti Shahidan Kassim akan meloncat untuk mengambil kesempatan oleh gred buruk oleh Cikgu Bersih ini. Memang sedap kalau kaki buli menggelakkan murid lain, tambah-tambah kalau boleh menenyeh.

Saya ingin memuji Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang tidak melatah dengan pemberian gred D terhadap kerajaan kini. Rafizi dilaporkan berkata, “kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam kerajaan perpaduan.” Ini tandanya dia berjiwa besar. Dan sabar. Tidak melenting. Murid pandai dalam kelas ada ciri ini.

Rafizi menjelaskan yang beberapa reformasi utama telah dimulakan namun ia masih memerlukan tempoh tertentu untuk melaksanakannya. Beliau memetik agenda pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, sebagai contoh.

Memang seronok menghakimi. Sebagai guru saya seronok memberi markah terutama kalau pen merah ada di tangan saya. Dan saya pula yang menciptakan soalan. Saya tahu perasaan tersebut, Bersih ada perasaan seperti itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.