Tuesday, November 19, 2024

Kerajaan cadang pinda ordinan daftar kelahiran, kematian Sabah buat julung kali

 

Shamsul Anuar Nasarah
Sejak mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 1951, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah tidak pernah dipinda, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Kerajaan bercadang meminda Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (CAP.123) bagi tujuan pengemaskinian dan keselarasan peruntukan dengan sistem pentadbiran semasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata, cadangan pindaan itu telah dibentang kepada peguam besar negeri Sabah yang tidak membantah perkara itu.

“Secara ringkasnya, terdapat 35 seksyen dipinda, 48 seksyen peruntukan baharu, 26 seksyen kekal dan 13 seksyen atau subseksyen dimansuhkan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.

“Pindaan perlembagaan berhubung kewarganegaraan yang diluluskan pada 17 Okt lepas juga memerlukan Ordinan CAP.123 ini diteliti dan dibuat pindaan bagi perkara-perkara yang berkaitan.”

Beliau menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) sama ada kerajaan bercadang meminda Ordinan CAP.123 bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan di Sabah dan justifikasi langkah itu.

Shamsul Anuar berkata, sejak mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 1951, ordinan diisytiharkan sebagai undang-undang Sabah yang dipersekutukan itu tidak pernah dipinda, menyebabkan terdapat ordinan tidak lagi relevan dengan sistem pentadbiran semasa JPN.

Terdahulu, Isnaraissah Munirah ketika mengemukakan usul mengenai pendatang tanpa izin, isu warganegara dan bukan warganegara di Sabah antara lain memohon penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa tiada jawapan diberikan bagi kelulusan permohonan warganegara di Sabah bagi 1970 hingga 1990.

Beliau juga ingin tahu langkah kerajaan persekutuan untuk mempercepat pendaftaran MyKad Lewat bagi rakyat Sabah di kawasan pedalaman dan sama ada terdapat perbincangan dibuat dengan kerajaan negeri mengenai penubuhan ‘Fast Track Lane’ untuk tujuan itu.

Menjawab perkara itu, Shamsul Anuar berkata, data permohonan kewarganegaraan di Sabah bagi tempoh 1970 hingga 1990 tidak dapat disediakan dengan segera ketika ini kerana perbezaan kaedah pengumpulan data pada waktu itu.

Bagaimanapun, katanya, KDN telah menambah baik sistem pengurusan data kewarganegaraan bagi memastikan rekod permohonan kewarganegaraan pada masa kini didokumentasikan secara telus dan teratur.

Berkaitan isu pendaftaran MyKad lewat, beliau berkata, JPN telah mengambil langkah proaktif bagi memudahkan penyelesaian kes Daftar Lewat Kad Pengenalan (DLKP) dengan permohonan DLKP boleh diterima di semua pejabat JPN seluruh negara serta melalui program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, dakwaan bahawa Kad Warga Asing Sabah bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing adalah tidak berasas, sebaliknya bagi mengurus kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah dan membolehkan keberadaan golongan itu dapat dikenal pasti dan dipantau dengan lebih baik. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.