Thursday, November 28, 2024

Pelajar Sabah bimbang tak dapat biasiswa sebab ibu bukan PR

 

Free Malaysia Today
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Zahid Hamidi pada sesi Putrajaya FOI Talk di PICC hari ini.

PUTRAJAYA
Taraf bukan penduduk tetap (PR) ibunya dibimbangi menjadi penghalang seorang penuntut universiti dari Sabah untuk memohon biasiswa.

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) itu meluahkan kebimbangannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi Putrajaya FOI Talk hari ini.

“Berhubung isu kewarganegaraan … isu ini popular di Sabah, seperti kes ibu saya sendiri, dia lahir dan membesar di Sabah, (tetapi) sehingga hari ini belum dapat (status) PR.

“Perkara ini merisaukan saya sebab untuk mohon biasiswa, perlukan kedua-dua ibu bapa warganegara,” kata pelajar perempuan itu.

Menurut pelajar itu lagi, beliau telah menyuarakan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan.

Dalam sesi yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Anwar menjawab beberapa soalan daripada penuntut-penuntut universiti.

Bagi menangani kebimbangan pelajar itu, Anwar memintanya menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berhubung perkara itu.

“Itu semua kena hantar surat. Bagi maklumat lengkap kepada Zahid,” katanya.

Zahid yang turut hadir pada sesi itu turut menggalakkan pelajar itu menghantar surat kepadanya.

“Bagi surat pada ‘uncle’, biar ‘uncle’ selesaikan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.