Tuesday, November 26, 2024

Pembangkang tegur Nga ambil masa lama cerita kejayaan KPKT

 

Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Afnan Hamimi Taib Azamudden tegur Menteri Nga Kor Ming kerana ambil masa lama menceritakan kejayaan kementeriannya. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR
Pembangkang menegur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kerana mengambil masa lama untuk menceritakan kejayaan kementerian berbanding menjawab isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata Nga sepatutnya menjawab terus soalan wakil rakyat, mengingatkan mereka berharap pada sidang Parlimen untuk mendapatkan penjelasan menteri.

“Hampir atau tiada Ahli Parlimen yang bertanya apa kejayaan KPKT, tapi itu yang dia habiskan hampir lapan minit,” katanya pada sidang media di Parlimen, mengkritik kelakuan Nga ketika perbahasan Belanjawan 2025 tadi.

Afnan mendakwa antara isu yang tidak dijawab menteri tadi antaranya berkenaan majlis penganugerahan untuk syarikat peminjam wang berlesen baru-baru ini.

Beliau juga mendakwa menteri tidak menjawab soalan mengikut turutan pembahas. “Tempat mana lagi kita harap untuk mendapatkan penjelasan menteri?” soalnya.

Pada Jumaat lalu, sumber kementerian mempertahankan penganjuran Anugerah Kredit Madani 2024 yang bertujuan menjenamakan semula industri pemberi pinjaman wang dan pajak gadai sebagai sektor profesional yang menyediakan akses kredit sangat diperlukan kepada komuniti yang tidak layak mendapat pinjaman bank.

Majlis penganugerahan dengan kerjasama persatuan pemberi pinjaman wang berlesen dan Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai itu julung kali diadakan di Malaysia.

Sehingga 30 Sept lalu, terdapat 4,315 peminjam wang berlesen, dengan 3,141 beroperasi di Semenanjung Malaysia di bawah peraturan kementerian.

Baki 1,174 pemegang lesen di Sabah, Sarawak dan Labuan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa pelesenan negeri masing-masing. Dalam tempoh sama, terdapat 902 pemegang pajak gadai berlesen di seluruh negara, semuanya dikawal selia kementerian.

Sementara itu, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) memaklumkan bahawa beliau keluar daripada prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyertai perbahasan Nga.

“Namun tunggu lama tiada jawapan,” katanya, yang bertanyakan mengenai kenaikan sewa di kawasannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.