Wednesday, November 20, 2024

Saya silap mengenai FAM

 

hishamuddin-aun

Betapa saya tersilap. Dalam ruangan ini pada 12 Nov lalu, saya menulis bahawa tiada apa-apa akan berubah selepas insiden pergaduhan pemain dalam perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT)-Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dua hari sebelum itu.

Tanggapan saya ketika itu pemain sayap sensasi tuan rumah, Arif Aiman Hanapi, dan pertahanan pelawat, Tommy Mawat Bada, yang terbabit dalam pergaduhan pada minit ke-82 perlawanan dimenangi Harimau Selatan 5-0 itu tidak akan mendapat hukuman tambahan daripada kad kuning yang diterima masing-masing.

Pengadil kontroversi, Razlan Joffri Ali, pula saya ramalkan akan diangkat selaku pengadil terbaik Liga Malaysia musim 2024/2025 ini di samping akan ditugaskan untuk lebih banyak perlawanan di SSI selain aksi JDT di gelanggang pasukan lawan selepas ini atas ‘kecemerlangan’ ditunjukkannya.

Tulis saya lagi, FAM — badan induk yang akhir-akhir ini turut mendapat perhatian dan sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim — tidak akan melakukan apa-apa dan membiarkan insiden di SSI itu berlalu begitu saja sambil berharap lama-lama orang akan lupa. Pada mereka, ia hanya BAU (business as usual atau urusan harian akan berjalan seperti biasa).

Sebagai seorang wartawan tua ketinggalan zaman pada usia menginjak pertengahan 60-an yang tidak mampu berganjak dari era silam — dengan meliputi bola sepak dari zaman Mokhtar Dahari jauh mengatasi Ariff Aiman hari ini — persepsi saya terhadap FAM terbentuk dari situ.

Juga sesetengah tindakan FAM yang dilihat ‘mengheret kaki’ berbanding menangani sesuatu isu dengan pantas mematerikan lagi tanggapan saya terhadap badan induk itu.

Tapi minggu ini FAM membuktikan saya silap. Nampaknya mereka sudah bertukar atau itulah yang Presiden FAM Hamidin Mohd Amin dan barisan kepimpinannya mahu tunjukkan kepada peminat bola sepak negara.

Ini dimulai dengan keputusan Jawatankuasa Pengadil FAM pada Jumaat merehatkan pengadil dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk dua perlawanan yang berkisar kepada keputusan tidak tepat dalam situasi sepakan penalti selepas penyerang pelawat, Clayton da Silva, dikasari pada minit ke-38 dan pergaduhan Arif Aiman dan Tommy Mawat pada minit ke-84.

Pada Selasa pula, Jawatankuasa Tatatertib FAM menggantung Arif dan Tommy tiga perlawanan atas kesalahan bergaduh — membabitkan perbuatan menumbuk muka, menghantuk kepala, dan mencengkam leher.

Dengan hukuman itu, Ariff akan tersisih daripada perlawanan pertama dan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur Rovers FC, pada 20 dan 30 Nov serta perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Dis.

Tommy pula akan terlepas perlawanan pertama dan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 Nov di samping perlawanan Liga Super Kedah Darul Aman FC pada 4 Dis.

Dalam memberi keadilan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Baljit Singh Sidhu, mereka sebenarnya tidak mengambil kira lawan masing-masing dalam tiga perlawanan terdekat yang akan dihadapi, lantas tidak boleh dibuat perbandingan di antara keuntungan atau kerugian kedua-dua pemain.

Maknanya, dalam tempoh tidak lewat 10 hari daripada insiden yang berlaku dalam perlawanan di Iskandar Puteri itu, isu-isu yang patut diadili dan diputuskan hukumannya oleh FAM sudah terlaksana. Kesegeraan badan induk itu patut dialu-alukan.

Cuma, ia tidak banyak mengubah persepsi peminat menerusi komen-komen di ruangan maya yang berasakan FAM — di sebalik keputusan segeranya — telah banyak bertolak-ansur dan berlembut dalam hal-hal yang menuntut tindakan lebih keras.

Saya tidak berniat untuk mengulasnya kerana peminat yang tidak boleh diketepikan pentingnya mereka sebagai pemegang taruh dalam bola sepak negara juga berhak menyuarakan pendapat.

Ada yang membandingkan dengan penggantungan sebulan ke atas pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, atas kritikannya yang mendakwa ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor selepas skuad Gergasi Merah itu tewas kepada Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 27 April 2023.

Sekali lagi demi memberi keadilan kepada FAM, hukuman ke atas Arif dan Tommy itu boleh dirujuk kepada penggantungan dua perlawanan ke atas pemain Kedah FC, Liridon Krasniqi, kerana menyiku leher pemain Perak FC, Leandro Dos Santos, di Stadium Darul Aman, pada 7 Feb 2018.

Dalam satu lagi kes, pemain JDT, Safiq Rahim, digantung tiga perlawanan kerana menghantuk muka seorang pemain lawan — Faisal Halim — pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di SSI pada 26 Nov 2021.

Perbandingan sekali imbas akan menunjukkan penggantungan tiga perlawanan ke atas Arif dan Tommy tidak pun menyalahi duluan daripada kes-kes seumpamanya pada masa lalu.

Namun, ia tidak sama dengan keputusan merehatkan Razlan daripada mengadili sekadar dua perlawanan — satu keputusan yang dilihat ringan dibandingkan dengan kes pengadil, Zulkarnain Zakaria, yang digantung sepanjang musim gara-gara keputusan kontroversinya dalam perlawanan Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas pada 17 Mac 2023.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM ketika itu sebulat suara mendapati bahawa Zulkarnain yang dipanggil ‘ref botak’ terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada Sabah FC pada minit ke-41 dan minit 90+9. Perlawanan itu dimenangi pasukan tuan rumah 5-2.

Mungkin persoalannya ialah apakah kesalahan Razlan sekadar melayangkan kad kuning kepada Arif dan Tommy atas kesalahan bergaduh yang lebih tepat dilayangkan kad merah dilihat sebagai ringan?

Juga kekhilafannya tidak memberi sepakan penalti selepas semakan VAR kepada Perak FC apabila Clayton dikasari pertahanan JDT, Feroz Baharudin, pada minit ke-37 perlawanan pada 10 Nov boleh dimaafkan sedangkan ia tidak pun berbeza dengan kesalahan Zulkarnain yang kemudian dikenakan penggantungan lebih panjang.

Tentunya ini belum lagi dikira keputusan aneh FAM melepaskan tiga pemain JDT — Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman — daripada tugas bersama pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang India di Hyderabad yang berlangsung malam tadi.

Ia memberi gambaran bahawa selaku badan induk, FAM lebih mengutamakan keperluan sebuah kelab daripada pasukan kebangsaan — tambahan pula dengan naratif berlawanan di antara JDT yang memohon pelepasan mereka untuk perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, pula beria-ia mahu ketiga-tiganya dibenarkan pulang.

“Sebenarnya ia adalah keputusan Pau Marti sendiri, bukannya ada kena mengena untuk (JDT) hadapi perlawanan KL Rovers,” kata Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman yang menambah jurulatih itu hanya mahu membawa 23 pemain ke India. Pelik sangat rasanya ni.

Saya baru sahaja buat silap mengenai FAM seperti dinyatakan di awal tulisan ini. Nampaknya saya akan terus berbuat silap mengenai FAM lagi dan lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.