Tuesday, November 26, 2024

Tak boleh bayar hutang tak apa, tapi…

 

ronasina

Ada mesej masuk di WhatsApp. Jelas terpampang di skrin nama seorang kawan.

“Salam Ron. Apa khabar? Aku nak minta tolong sikit. Nak pinjam RM500 boleh? Ada hal sikit nak kena selesai segera. Kecemasan. Gaji nanti aku janji aku bayar. Kalau tak ada, tak apa. Terima kasih.”

Pernah alami begitu? Bukan sebab kita percaya atau separuh percaya tapi kerana kawan, kita pun minta nombor akaun bank dia dan lakukan transaksi.

“Terima kasih, Ron. Aku bayar hujung bulan nanti, ya?” jawab dia.

Hujung bulan pun sampai. Kita pun tunggulah dia hubungi kita untuk lunaskan hutang. Senyap. Tunggu punya tunggu sampai berganti bulan baharu, masih tiada. Kita pun hantar mesej bertanya sudah dapat gaji? Kalau bernasib baik, jawapan segera akan kita dapat. Kalau tidak, sehari dua kemudian baru dijawab.

Sorry, Ron. Bulan ni tak dapat sebab nak bayar yuran kolej anak. Bulan depan aku bayar, OK?”

Kita sabar dan tunggu sehingga hujung bulan berikutnya. Senyap juga. Kita pun mesej. Kali ini makan beberapa hari juga kita tunggu tetapi nampaknya tiada jawapan. Kita pun buat panggilan. Panggilan tak dijawab. Beberapa minit kemudian, dia mesej kita.

“Nanti aku ada duit aku bayarlah.”

Tiada perkataan maaf dan terima kasih. Kita pula yang beralah dan menunggu lagi. Bulan berikutnya kita sudah malas (dan takut) untuk bertanya lagi. Takut kena marah. Takut kita dikatakan tak memahami yang dia sedang ada masalah. Aduh!

Ya! Dalam dunia ini hanya dia sahaja yang ada masalah. Kita wajib untuk memahami kesulitan dia. Kita ini manusia yang tak ada masalah. Bagi mereka kita tak ada keluarga untuk ditanggung. Kita ini yatim piatu sebatang kara tak ada orang tua perlu dikirim wang setiap bulan agaknya atau tidak ada anak saudara yang sudah menjadi anak yatim untuk kita hulur sedaya mungkin, atau agaknya bagi dia anak kita tak bersekolah dan tak perlu belanja bayar yuran. Kita ini agaknya tinggal di dalam gua, tak ada bil untuk dijelaskan dan tidak ada ansuran kereta untuk dibayar. Maklumlah kita hanya menunggang buku lali dan memandu kaki.

Bagi dia begitu kut? Atau bagi dia kita ini kaya. Tak luak duit jika dia tak bayar hutang kepada kita. Alhamdulillah! Amin. Moga doa dia makbul dan kita ini akan jadi New Money.

Itu kira nasib baik jugalah dia senyap buat tak reti bila dimesej. Paling parah ada juga yang jawab, “Tuhan belum beri rezeki untuk kau dapat duit bayaran daripada aku. Sabar.”

Pulak! Ini apa punya tunggang agama? Engkau yang berhutang aku pula yang kau nasihat dan bercakap bagi pihak Tuhan? Takkan aku nak cakap, engkau ni mahal rezeki. Tuhan yang tak bagi rezeki yang cukup kepada engkau untuk engkau jelaskan hutang. Macam itu punya jawapan, kau belajar agama di mana? Aduhai!

Bukankah kita ini manusia ada hati perut, ada ihsan dan ada budi bahasa. Kita bukan kejam malah kita boleh bertimbang-rasa. Jika tidak mampu bayar penuh, bayar berapa yang mampu. Cakap baik-baik sebagaimana baiknya kamu ketika mula-mula hendak meminjam dulu.

“Ron! Aku nak minta maaf banyak-banyak tak dapat tunai janji. Bulan ini aku bayar sikit dahulu, ya?”

Boleh begitu, kan? Ini tidak. Kamu pula yang marah kepada orang yang telah bantu kamu. Kamu biarkan dia pula meminta maaf seperti dia itu pengemis yang menagih simpati. Pernah ada sungutan kawan-kawan, mereka kena lebih teruk. Kawan yang berhutang dengan dia boleh pula play victim. Burukkan kepada kawan-kawan lain betapa teruknya dia ditekan oleh si pemberi hutang. Manusia macam ini pun ada!

Saya rasa orang yang lari daripada kawan yang banyak menolong ini sangat rugi. Kamu anggap mereka ini musuh kamu pula walhal kamu yang tak dapat melindungi rasa malu dan bersalah dalam diri kamu kerana memungkiri janji. Kamu fikir kamu lari dan cari kawan lain itu suatu tindakan bijak. Dengan perangai itu percayalah lama-kelamaan lingkungan kawan kamu akan terus mengecil dan mereka akan menjauhi kamu. Mungkin mereka masih bertegur-sapa dengan kamu tetapi setakat itu sahajalah. Untuk lebih-lebih, tidak.

Sebab itulah ada kawan kita akan keberatan untuk meminjamkan duit apabila kita meminta bantuan. Atau mereka hanya memberi sedikit sahaja, tidak beri penuh seperti jumlah yang kita minta. Ini kerana mereka agak serik dengan pengalaman banyak kali ditipu. Atau, barangkali mereka mahu terus berkawan dengan kita dan tidak mahu persahabatan putus hanya semata-semata sebab wang dan hutang.

Berubahlah! Anda perlu lasak sedikit untuk berkorban. Jika hari ini anda dapat RM50, gunakan RM20 untuk bayar hutang. Selebihnya pakailah untuk tampung keperluan. Tetapi ada juga yang liat nak bayar hutang itu kita nampak dia post gambar bercuti di luar negara kalaupun tidak pergi Mekah tunaikan umrah. Pedih betul dibuatnya. Kita pun belum ke sana lagi, dia selamba sahaja bersuka-ria tanpa memikirkan perasaan kita.

Aha! Mesej masuk daripada si dia. Harap kali ini ada berita gembira.

“Ron! Boleh tolong lagi tak? RM300 sahaja. Nanti bulan depan aku bayar sekali semuanya campur yang dulu itu. OK? Terima kasih.”

Parah! Nak tolong atau tak ni? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.