Tuesday, November 19, 2024

Video fitnah Anwar berkait Israel dirujuk ke Bukit Aman

 

anwar
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat membuat laporan mendakwa akaun ‘Papa Berry Studio’ di YouTube menghasut orang Islam berkait temu ramah perdana menteri dengan CNN.

KUALA LUMPUR
Gabungan 20 NGO, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) membuat laporan polis berhubung satu video tular didakwa memfitnah Anwar Ibrahim berkaitan temu ramah perdana menteri dengan CNN.

Jurucakap gabungan itu, Shahbudin Embun, berkata video dimuat naik seorang individu menggunakan akaun “Papa Berry Studio” di platform YouTube itu bertujuan menghasut orang ramai untuk menimbulkan kemarahan rakyat, terutamanya orang Islam di Malaysia.

“Ini adalah fitnah, perbuatan jahat, dan satu penghinaan terhadap beliau (Anwar) kerana kita tahu dari zaman mudanya lagi, beliau telah memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kami, NGO tidak akan berkompromi dengan perkara ini.

“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini di bawah Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma,” katanya ketika ditemui di IPD Dang Wangi, bersama wakil 20 NGO berkenaan.

Antara ahli gabungan NGO itu yang turut hadir membuat laporan ialah Waris Pekembar Malaysia, Pertubuhan Media Digital Malaysia (Memo), dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Shahbudin berkata, perbuatan individu itu memuat naik video memfitnah perdana menteri susulan termu ramah Anwar bersama Richard Quest daripada CNN ialah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes terbabit akan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Baru-baru ini, satu video memaparkan seorang individu mendakwa kononnya Anwar mengiktiraf kewujudan negara Israel.

Bagaimanapun, Anwar ketika menjelaskan mengenai isu itu berkata beliau tidak mengiktiraf negara Israel, dan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.