Thursday, December 26, 2024

Penuntut universiti maut tergelincir tingkat 33 pangsapuri

 

garisan kuning
Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di koridor tingkat 12 pangsapuri tersebut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

PETALING JAYA
Seorang penuntut universiti awam tempatan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir dari tingkat 33 sebuah pangsapuri di Kajang semalam.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 6.34 petang semalam bahawa seorang pelajar perempuan ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di koridor tingkat 12 pangsapuri tersebut.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan remaja itu telah meninggal dunia, tambahnya.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan dapati mangsa merupakan warganegara asing berumur 19 tahun … seorang pelajar di sebuah universiti awam tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Mangsa dipercayai tergelincir dari tingkat 33 (pangsapuri) tersebut dalam usaha keluar melalui tingkap tandas kerana kerosakan pintu tandas lalu terjatuh ke koridor tingkat 12.”

Naazron berkata, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil bedah siasat di Hospital Serdang pada 10 pagi hari ini mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan ‘pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi’.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi Mohd Nasri Tesnoh menerusi talian 017-7102042 bagi membantu siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.