Sunday, January 5, 2025

‘Tiada bantahan’ ketika pemilihan, Upko pertahan presiden dilantik pengerusi PH Sabah

 

ewon benedick
Pada pemilihan PH Sabah bulan lepas, Ewon Benedick menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA
Upko mempertahankan pemilihan presidennya Ewon Benedick sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah walaupun tidak dipersetujui PKR.

Setiausaha Agung Upko Nelson Angang berkata, tiada bantahan mahupun pertikaian dalam proses pemilihan 1 Dis lepas, yang melibatkan semua pemimpin komponen PH Sabah.

“Bagaimanapun kita terbuka untuk berbincang dalam Majlis Presiden (PH) dan menjelaskan apa yang berlaku dalam proses pemilihan.

“Segala ketidakpuasan hati itu dipercayai boleh kita selesaikan dengan matang dan terbuka,” katanya kepada FMT.

Pada pemilihan tersebut, Ewon Benedick menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dipersetujui PKR Sabah kerana menurutnya, jawatan pengerusi PH negeri sepatutnya milik parti itu, tanpa perlu dipertandingkan, menurut formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.

Seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan malah mendakwa, pemilihan oleh PH Sabah itu suatu cubaan untuk mengetepikan partinya.

Dalam pada itu, Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, keputusan pelantikan jawatan itu akan disahkan majlis presiden pusat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.