Friday, January 10, 2025

Tiong mungkin dah lali tapi…

 

hishamuddin-aun

Hanya Isnin lalu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing ‘disakat’ Anwar Ibrahim kerana kerap memohon dana daripada kerajaan. Namun, jauh daripada mengkritiknya, perdana menteri seakan-akan mengiktiraf kerja kuat presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu dalam mempromosikan negara.

“Setiap kali berjumpa saya, dia akan minta lebih banyak wang. Saya kata peranan kamu adalah untuk membawa masuk lebih banyak wang, bukan minta kita duit. Peranan kamu adalah kurangkan ke luar negara dan bawa warga asing datang ke sini. Tetapi kita punya menteri pelancongan banyak ke luar
negara.

“Bergurau, bergurau. Jangan ambil serius sangat,” kata Anwar ketika berucap pada pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Kompleks Kejuruteraan MAB, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Mana-mana menteri di tempat Tiong ketika itu harus berasa ‘kembang’. Usikan perdana menteri seperti itu yang berkias sebagai pujian tentunya menjadi rangsangan dan menaikkan semangatnya untuk bekerja lebih kuat.

TMM 2026 menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pelawat antarabangsa dan menjana pendapatan sebanyak RM147.1 bilion. Ia juga dijangka merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Tetapi kembangnya Tiong harus segera kempis apabila satu klip video montaj 41 saat sempena TMM 2026 yang ditayangkan semasa majlis pelancaran itu dan dimuat naik oleh Tourism Malaysia di Facebook mengundang pelbagai komen negatif.

Kritikan ramai tertumpu kepada ketiadaan masjid dalam klip itu. Sebaliknya, rumah ibadat bukan Islam seperti sebuah gereja bersejarah di Melaka dan kuil Hindu di Batu Caves dipaparkan. Lantas, ia mengundang tafsiran identiti Islam di Malaysia — terkenal dengan seni bina masjid yang cantik – telah diketepikan.

Sambil mempertahankan bahawa klip video itu bertujuan mempromosikan pelancongan dan tarikan negara dan bukannya agama atau kaum, Tiong menjelaskan elemen lain termasuk seni bina masjid yang memukau akan dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci kemudian.

“Elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam promosi video yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus. Video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Apa pun alasannya, ia tidak dapat menutup kekhilafan atau terlepas pandang video 41 saat yang sudah ditayangkan. Lebih baik tiada langsung paparan rumah ibadat daripada tidak memuatkan masjid yang sukar diterima banyak pihak.

Lebih daripada itu, kenyataannya agar isu itu tidak dipolitikkan selain menyerang pengkritik video itu sebagai ‘ekstremis’ yang mahu mengganggu keamanan, sekadar memburukkan lagi keadaan.

“Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman serta menjadikan isu ini sebagai bahan perpecahan.

“Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita. Ingatlah bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan,” katanya pada Rabu.

Menyusuli tuntutan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin supaya Tiong tampil menjernihkan keadaan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi pula menggesa menteri – didakwanya tidak berhati-hati dalam meneliti hasil kerja melibatkan tanggungjawabnya — meletakkan jawatan sekiranya tidak mahu menjunjung kedaulatan negara.

“Isunya kenapa tiada masjid (dalam klip video berkenaan) sedangkan tempat ibadat agama lain yang punyai elemen sejarah diletakkan. Kemudian menteri sebut berkenaan inklusiviti?

“Tiba-tiba, apabila ditegur dan diminta penjelasan, dikatakan yang menegur ini sebagai ekstremis, mengganggu keharmonian dan tidak menghormati adat dan agama lain? Secebis kemaafan tidak dihulur, dilabel pula dengan pelbagai tuduhan kepada yang menegur,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tidak ketinggalan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula menyifatkan menteri pelancongan seperti tidak menghormati agama persekutuan yang merupakan agama kaum majoriti di negara ini.

“Perkasa berasa bimbang apabila melihat klip video yang tidak memaparkan syiar Islam seperti masjid dalam promosi video tersebut,” kata Ketua Penerangannya Irwan Fahmi Ideris.

Namun, dalam memberi keadilan kepada Tiong, beliau sendiri sudah mengakui tidak berpuas hati dengan video montaj TMM 2026 dan sudah mengarahkan ia dibuat semula merangkumi pelbagai aspek keindahan budaya, kaum dan agama.

Video promosi baharu yang lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaik-baiknya dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.

Cuma, kontroversi terbaru ini harus menjadi satu lagi ingatan buat Tiong agar lebih beringat-ingat untuk mengelakkan sebarang kekhilafan seumpamanya pada ketika beliau mudah dijadikan sasaran kecaman berkait soal kaum, budaya, bahasa apatah lagi sensitiviti agama.

Hanya November lalu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mencadangkan agar kerajaan menukar portfolio Tiong kepada yang lebih memfokus kepada penguatkuasaan selepas beliau mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina yang didakwanya mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

Senada dengannya, Setiausaha Kelab Veteran Umno Mustapha Yaakub mendesak agar Tiong digugurkan daripada Kabinet selepas kenyataan-kenyataannya yang didakwa memalukan demi memelihara nama baik negara.

Selepas Gerakan Pengundi Sedar (GPS) memulakan satu petisyen dalam talian untuk mendesak peletakan jawatannya bulan lalu, Tiong memberi reaksi bahawa beliau tidak mampu memuaskan hati semua orang tetapi terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan.

“Ia adalah biasa. Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Mereka minta saya letak jawatan, apa salah saya? Beritahu saya, jelaskan pada saya di mana kelemahan saya supaya saya boleh memperbaikinya,” katanya.

Ringkasnya, Tiong mungkin sudah lali, dengan desakan meletak jawatan tidak lagi dihairankan tapi demi jawatannya sendiri, elok beliau lebih berhati-hati. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.