Monday, February 24, 2025

Proses rumit, kata bekas pegawai SPR; Bersih sokong undi pos pengundi Sabah

 

Free Malaysia Today
Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud gesa SPR perkenal undi pos bagi pengundi Sabah menetap di luar negeri pada PRN akan datang.

PETALING JAYA
Seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketua badan pemantau pilihan raya berbeza pendapat berhubung keperluan untuk memperkenalkan undi pos bagi pengundi biasa Sabah yang menetap di luar negeri itu pada PRN.

Free Malaysia Today
Wan Ahmad Wan Omar.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, berpendapat perkara itu sukar dilaksanakan mengambil kira jumlahnya yang ramai dan mungkin melalui proses rumit.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, menyokong saranan itu supaya pengundi Sabah di Semenanjung dan Sarawak diberikan kemudahan itu tidak perlu memikirkan kos tiket kapal terbang untuk pulang mengundi.

Bercakap kepada FMT, Wan Ahmad berkata cadangan oleh Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud itu memerlukan persediaan rapi memandangkan banyak proses untuk mengeluarkan kertas undi pos kepada ramai pengundi dan perlu dikembalikan semula kepada pusat penjumlahan.

“Penghantaran juga melibatkan kawasan pendalaman… adakah mampu sampai ke lokasi tersebut atau pusat penjumlahan tepat pada masanya? Semua ini perlu diteliti,” katanya.

Tambahnya, usaha itu akan menjadi titik tolak pertama dan satu ‘langkah ikutan’ yang wajib dilaksanakan pada semua pilihan raya pada masa depan bagi memastikan keadilan.

“Kalau pilihan raya berlaku di Semenanjung, maka mereka di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi peluang undi pos,” katanya.

Free Malaysia Today
Faisal Abdul Aziz.

Sementara itu, Faisal berkata langkah memperkenalkan undi pos itu dapat memudahkan pengundi Sabah terutama golongan mahasiswa di luar negeri dan penjawat awam.

“Mereka tidak perlu fikir lagi tiket kapal terbang mahal, pada masa sama kerajaan juga tidak perlu bersusah-payah berurusan dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mendapatkan pakej murah.

“Ini menepati semangat demokrasi dan hak rakyat untuk mengundi,” katanya, sambil menambah tuntutan seumpamanya pernah dikemukakan gabungan itu ketika bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Fadilah Yusof tahun lalu.

Sabtu lalu, Mustapha menggesa SPR memperkenalkan undi pos kepada rakyat Sabah menetap di luar negeri itu pada PRN akan datang.

Pada masa ini, kebenaran mengundi undi awal dan secara pos dalam negara diberi kepada anggota tentera serta pasangan masing-masing jika mereka bertugas pada hari pengundian, selain pasukan polis.

Petugas media dan petugas pilihan raya juga antara mereka yang dibenarkan mengundi secara pos. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.