
Timbalan Pengarah Besar Perladangan Felda, Izham Mustaffa berkata masih terdapat peneroka mempercayai dakwaan tidak tepat kononnya harga dan kadar perahan minyak sawit lebih rendah jika dijual kepada kilang Felda, lalu memilih untuk berurusan dengan pihak ketiga.
“Situasi ini membuka ruang kepada penipuan. Ada yang dimanipulasi dan ditipu dengan harga rendah, menyebabkan berlaku kepincangan yang merugikan peneroka tanpa mereka sedar,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Felda dilaporkan mengalami kerugian sehingga RM200 juta akibat tindakan peneroka menggunakan orang tengah untuk penjualan sawit.
Sementara itu, Pengarah Operasi Perladangan Felda, Razuwan Che Rose, berkata hasil sawit yang dihantar terus ke kilang Felda menjamin pendapatan optimum kepada peneroka, berbanding jika dihantar melalui pihak ketiga yang menangguk di air keruh.
Tindakan itu, katanya, menyebabkan ketirisan kerana buah sawit akhirnya tetap dihantar ke kilang Felda tetapi keuntungan telah dipotong di peringkat tengah.
“Apabila buah sawit dihantar ke kilang Felda, mereka menikmati hasil pendapatan yang maksimum baik dari segi penimbang, perahan dan harga.
“Tetapi apa yang berlaku di beberapa kawasan, ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan. Peneroka hantar ke pihak ketiga dan sawit tersebut dihantar pula ke kilang (Felda). Wujud ketirisan di tengah-tengah proses tersebut.
“Itu yang menyebabkan ramai peneroka tepuk dahi dan berdepan kerugian kerana wujud ketirisan yang tidak sepatutnya berlaku jika proses penjualan sawit itu berlaku mengikut standard,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.