Penduduk Taman Seri Alam dakwa kejadian kolam takungan pecah sebanyak tiga kali dan terbaru semalam menyebabkan mereka bimbang setiap kali hujan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Sazalie Basran, berkata selagi tuntutan mereka yang mahu kolam takungan itu ditutup tidak dilaksanakan, penduduk akan terus dihantui rasa tidak selamat terutama ketika musim hujan.

“Jangan tunggu kejadian lebih tragis seperti kehilangan nyawa anak-anak baru pihak berwajib nak ambil tindakan,” katanya kepada FMT sambil mendedahkan kolam itu untuk kegunaan taman perumahan bersebelahan iaitu Taman Hillpark.
Kejadian kolam takungan pecah itu berlaku kira-kira 5.30 pagi susulan hujan lebat berterusan hampir tiga jam menyebabkan 35 rumah terjejas kerana dinaiki air, namun tidak membabitkan pemindahan mangsa banjir.
Dalam kejadian 29 Dis tahun lalu pula, air melimpah setinggi 0.3m dan melanda kawasan perumahan secara mendadak, sehingga digambarkan penduduk sebagai ‘tsunami kecil’.

Kali pertama kolam takungan itu pecah 10 tahun lalu namun tidak seteruk dua kejadian tersebut.
Sazalie mendakwa, struktur binaan kolam itu juga tidak selamat kerana dasarnya lebih tinggi daripada rumah penduduk Taman Seri Alam, selain menggunakan ‘rubber wall’ yang kebiasaannya digunakan di tepi lebuh raya untuk menahan gerakan struktur tanah.
“Kami ibarat tinggal di sebalik ’empangan’, bila-bila masa boleh pecah dan yang jadi mangsa sudah tentulah penduduk.
“Jadi, kami minta kolam ini ditutup segera atau dialihkan sebelum kejadian lebih parah,” katanya yang mendakwa penduduk difahamkan ada cadangan membesarkan saiz kolam oleh pemaju namun belum diluluskan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
“Jadi kita minta pihak berwajib segerakanlah jalan penyelesaian, tambahan musim hujan sekarang tak menentu.”
Berkongsi detik cemas, Sazalie berkata dia menghubungi wakil penduduk Taman Hillpark dan juga MPKS untuk memaklumkan keadaan kolam takungan itu yang sudah penuh, namun panggilannya kira-kira 4 pagi itu tidak berjawab.
“Sekiranya waktu itu MPKS bertindak cepat dengan menghidupkan rumah pam, mungkin kejadian ini tidak akan berlaku,” luahnya kecewa.

Sementara itu, Akmal Abdul Ghani, 39, yang rumahnya berada di hadapan kolam takungan itu mengakui berasa tidak selamat selepas ia dibina pada 2015.
Akmal yang tinggal di perumahan itu sejak 2011 mengakui sudah ‘tak berdaya’ untuk menanggung kerugian akibat insiden banjir itu termasuk kejadian terbaru dengan anggaran awal kira-kira RM2,000.
“Kejadian agak cepat, air berserta lumpur tebal naik cepat dalam rumah, saya dan isteri sempat selamatkan barangan elektrik saja.
“Perabot lain kami terpaksa biarkan saja, mujur air surut cepat,” kata bapa lima anak berusia dua hingga 11 tahun. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.