Sunday, December 28, 2025

Aktif dalam talian antara punca ramai orang muda kena ‘scam’, kata persatuan

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata kejadian itu tidak harus dilihat akibat kecuaian individu semata-mata.

mobile phone socmed
Baru-baru ini, polis mendedahkan golongan belia berusia antara 21 hingga 30 tahun merekodkan jumlah mangsa penipuan jenayah telekomunikasi tertinggi dalam tempoh Januari hingga November lalu, dengan kerugian mencecah RM715 juta. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
 Rekod tertinggi mangsa jenayah penipuan telekomunikasi membabitkan golongan belia tidak harus sekadar berpunca daripada kecuaian individu, sebaliknya perlu difahami lebih menyeluruh yang mencerminkan cabaran dan kelemahan ekosistem digital masa kini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata golongan muda menjadi kumpulan paling aktif menggunakan platform digital melibatkan urusan kewangan, pekerjaan, perniagaan dalam talian dan interaksi sosial, sekali gus menjadikan mereka sasaran utama sindiket penipuan.

Menurutnya, biarpun golongan ini kelihatan celik teknologi namun tahap keterhubungan digital yang tinggi, tekanan ekonomi serta budaya membuat keputusan pantas mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan siber.

“Kemahiran menggunakan aplikasi tidak semestinya disertai kefahaman mengenai ancaman siber.

“Penjenayah atau scammer pula semakin sofistikated, menggunakan manipulasi psikologi seperti rasa cemas, terdesak dan peluang keuntungan segera untuk memperdaya mangsa. Ini menunjukkan wujud jurang kesedaran keselamatan digital yang masih belum ditangani secara sistematik,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan golongan belia berusia antara 21 hingga 30 tahun merekodkan jumlah mangsa penipuan jenayah telekomunikasi tertinggi dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Ia melibatkan 8,789 daripada 28,698 kes yang dilaporkan di seluruh negara, dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta.

Kumpulan umur 31 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi iaitu 6,825 mangsa, diikuti golongan berusia 41 hingga 50 tahun melibatkan 4,977 mangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha membendung jenayah itu memerlukan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang termasuk mekanisme tindak balas pantas melibatkan pelbagai pihak seperti polis, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan platform digital.

Katanya, kerjasama itu membolehkan langkah seperti membekukan akaun dapat diambil segera sebelum kerugian merebak.

“Pada masa yang sama, amaran penipuan perlu disampaikan secara lebih bersasar, khususnya melalui aplikasi perbankan dan e-dompet ketika pengguna hampir melakukan transaksi berisiko.

“Bagi jangka panjang, literasi keselamatan digital perlu dibangunkan sebagai kemahiran hidup nasional melalui pendidikan berstruktur di sekolah, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja, selain meletakkan tanggungjawab lebih jelas kepada platform digital mengawal akaun serta iklan palsu.

“Data penipuan yang dikumpul juga perlu dimanfaatkan secara strategik bagi membentuk dasar pencegahan yang berasaskan bukti, bukan hanya sebagai laporan statistik tahunan,” katanya.

Sementara itu, aktivis keselamatan siber Aaron Mokhtar berpendapat tahap penggunaan perkhidmatan digital dan peranti mudah alih seperti aplikasi mesej, media sosial, perbankan dalam talian dan e-dompet dalam kalangan golongan dewasa antara faktor mereka mudah terdedah kepada jenayah siber.

“Golongan ini sering disasarkan dengan penipuan pekerjaan, pelaburan palsu atau skim pinjaman segera yang dihantar melalui SMS atau WhatsApp, Telegram dan kelihatan menarik.

“Penjenayah menggunakan automasi, identiti palsu, kecerdasan buatan (AI) dan pendekatan merentas platform, menjadikan penipuan lebih sukar dikesan dan kelihatan sah.

“Langkah awal boleh diambil pengguna, jangan percaya atau layan panggilan atau mesej meminta maklumat peribadi, kewangan atau pengesahan. Gunakan aplikasi penyekat panggilan spam untuk menapis panggilan masuk,”katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.