Saturday, December 20, 2025

Ancaman ‘sang ultras’

Dalam buku bertajuk 'Mei 13 Sabelum dan Sa-lepas', Tunku ada bercakap mengenai ultra Umno yang lempar pelbagai tuduhan ke atasnya termasuk serangan peribadi dan desak bersara.

Mohsin Abdullah

Singapura menyahrahsiakan apa yang dipanggil The Albatross Files. Fail itu mengandungi dokumen disimpan oleh Goh Keng Swee, orang kanan Lee Kuan Yew. Goh juga mengumpul catatan beliau. Dokumen dan catatan itu mengenai detik-detik penting, genting dan tegang menjelang perpisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada Ogos 1965.

Semua dibukukan setebal 487 muka surat dan diberi tajuk ‘The Albatross File: Inside Separation’. Pada 7 Disember lalu, buku itu dilancar bekas perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong, yang merupakan anak Lee Kuan Yew.

ini, saya sentuh hanya satu aspek yakni bukanlah rahsia Lee Kuan Yew dan People’s Action Party pimpinannya menyalahkan Kuala Lumpur khususnya golongan rasis dalam Umno pimpinan Tunku Abdul Rahman atas tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada 1964.

Sebenarnya dua kali rusuhan berlaku antara orang Melayu dan Cina di Singapura pada tahun itu iaitu pada Jun dan September.

Lee dan Goh tidak menyalahkan Tunku tetapi percaya Tunku tidak dapat mengawal puak pelampau atau ‘ultra Umno’ yang menurut mereka mampu mencetus atau mengapikan rusuhan kaum pada bila-bila masa. “Switch on and off,” kata mereka.

Menurut beberapa buku yang ditulis oleh Tunku sendiri, beliau memang berhadapan tekanan kuat daripada ultra Umno yang mahu beliau menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menangkap Lee. Desakan itu kerana Ultra Umno melihat konsep Malaysian Malaysia anjuran Lee menafikan hak keistimewaan orang Melayu.

Tunku enggan kerana bimbang itu akan cetus lebih banyak konflik dalaman dan penangkapan Lee akan memburukkan keadaan. Memendekkan cerita yang panjang Tunku melihat pemisahan sebagai jalan keluar terbaik daripada ketegangan yang semakin memuncak antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Singapura. Tunku melakukannya untuk memastikan rusuhan kaum lebih besar tidak terjadi.

Namun apa yang Tunku tidak mahu berlaku, berlaku juga empat tahun kemudian. Kali ini di Kuala Lumpur rusuhan Melayu-Cina pada 13 Mei 1969. Sekali lagi istilah ultra Umno timbul.

Carian Google menghuraikan definisi ‘ultra Umno’ merujuk pada kelompok dalam Umno yang lebih radikal dalam memperjuangkan hak Melayu, berbeza dengan pendekatan Tunku yang lebih moderate.

Menurut informasi yang diperolehi, ketegangan politik pasca pilihan raya 1969 melibatkan perhimpunan membantah (pada hemat saya ia untuk meluahkan rasa tidak puas hati) keputusan pilihan raya menjadi pencetus rusuhan kaum itu.

Tindakan dan retorik golongan ultra dalam Umno serta cara kepimpinan Tunku menjadi sebahagian daripada perdebatan sejarah mengenai punca dan pengurusan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Dalam buku bertajuk ‘Mei 13 Sabelum dan Sa-lepas’, keluaran September 1969, Tunku ada bercakap mengenai ultra Umno yang melempar pelbagai tuduhan ke atasnya termasuk serangan peribadi dan mendesak beliau bersara.

“Tidaklah dapat dinafikan lagi tentang adanya perebutan kuasa di dalam Umno sendiri di antara mereka yang telah menegakkan parti ini dan yang telah berkorban untuk kemerdekaan kita dengan anasir-anasir baharu yang digelarkan ‘pelampau’.”

Kata Tunku, perebutan kuasa dalam Umno telah bermula beberapa tahun terdahulu tetapi gerakan puak pelampau dapat dipatahkan oleh penyokong yang setia, dan kerana Umno ketika itu kuat.

Menurut Tunku: “jelaslah bahawa apa yang dikehendaki oleh ‘pelampau-pelampau’ ini ialah supaya Umno sahaja yang memegang seluruh pentadbiran kerajaan negeri ini sebagai sebuah parti. Saya telah berulang kali menyatakan bahawa kehendak ini adalah bertentangan dengan dasar saya.”

Bagaimanapun Tunku letak jawatan pada 1970 setelah berkhidmat sebagai perdana menteri pertama Malaysia selama 13 tahun, digantikan oleh Razak Hussein.

Siapa benar siapa salah akan terus ditanya. Hakikatnya dua kali Tunku tidak dapat mengawal ultra Umno.

Apa pun gabungan Perikatan pimpinan Razak juga dianggotai MCA dan MIC, bukan Umno sahaja seperti yang dituntut golongan ultra daripada Tunku. Tuntutan itu bagaimanapun tidak dibuat ke atas Razak. Ultra akur komposisi Perikatan sehingga komponen bertambah dengan pelbagai parti pelbagai kaum apabila Barisan Nasional ditubuhkan Razak pada 1974.

Adakah golongan ultra wujud dalam parti politik masa kini, khususnya parti politik Melayu? Golongan yang hanya mahu Melayu-Islam memerintah Malaysia? Terpaling nasionalis. Terpaling ketuanan. Saya ternampak beberapa hantaran di media sosial membabitkan perkara sama:

“Bila isu kaum dan agama dijadikan alat senjata politik, negara ini sedang berjalan ke arah kehancuran. Musuh kita bukan Cina. Bukan India. Musuh kita ialah golongan ultras dari kalangan kita sendiri yang hidup meniup sentimen dan kebencian. Setiap hari mereka racuni fikiran bangsa kita. Kalau kita terus biarkan, jangan terkejut bila negara ini rosak oleh tangan bangsa kita sendiri.”

Peringatan itu dikatakan diluah oleh timbalan perdana menteri kita yang kedua, Dr Ismail Rahman, pada 1973. Hantaran siap dengan gambar beliau. Saya Google tetapi tidak dapat cari pengesahan sama ada itu benar kata-kata Ismail. Mungkin saya terlepas pandang wallahualam tetapi saya setuju dengan kata-kata itu — tidak kira ia dikeluarkan Ismail atau tidak.

Carian Google memberitahu Ismail Rahman terkenal kerana peranan utamanya dalam memupuk keharmonian kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan menekankan perpaduan nasional, dan bukannya ‘ultra’. Fokus utama Ismail ialah perpaduan kaum, integriti dan kesederhanaan serta menentang ekstremisme.

Walaupun tiada rekod spesifik ‘ultra’ dalam carian, sumbangannya adalah meredakan ketegangan kaum yang secara tidak langsung menentang fahaman ekstremis yang boleh memecahbelahkan. Ismail bertindak tegas terhadap golongan ultra Melayu dalam Umno.

Ringkasnya Ismail tokoh yang membina jambatan perpaduan, dan bukan penyokong fahaman ekstremis. Pendirian dan perjuangan Ismail menentang extremis wajib diteruskan demi negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.