Tuesday, December 23, 2025

Exco PAS harap dakwaan MB Perlis hilang sokongan tak benar

Semalam, FMT melaporkan lapan Adun didakwa telah menarik sokongan terhadap Shukri Ramli.

Shukri Ramli mengetuai pentadbiran Perlis susulan kemenangan PN pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Seorang exco kerajaan Perlis berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat atau didatangi mana-mana pihak berhubung dakwaan wujud gerakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis Shukri Ramli dari PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Wan Badariah Wan Saad berkata beliau hanya mengetahui dakwaan lapan Adun Perlis menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan terhadap Shukri melalui laporan media.

 Wan Badariah Wan Saad.
Wan Badariah Wan Saad.

“Saya tiada pengetahuan tentang perkara ini. Saya hanya tahu melalui berita yang dilaporkan.

“Harapan saya dakwaan ini tidak benar dan sekadar mainan politik,” katanya yang juga Adun Mata Ayer kepada FMT.

Semalam, FMT melaporkan kedudukan Shukri sebagai menteri besar didakwa goyah selepas lapan Adun dikatakan menarik sokongan terhadap Adun Sanglang itu.

Memetik sumber Perikatan Nasional, mereka telah menyerahkan SD kepada Raja Perlis, Jumaat lalu, dengan menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Shukri dikatakan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas mengalami sakit dada ketika pulang dari lawatan ke luar negara, menurut Bernama.

Pada PRU15, PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis. Tanpa sokongan lapan wakil rakyat itu, Shukri bakal kehilangan majoriti mudah untuk terus menjadi menteri besar.

Sumber itu mendakwa Bersatu berada di sebalik tindakan itu untuk menguasai negeri dan melantik menteri besar dari wakilnya.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Shukri sebagai menteri besar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.