Menggunakan keputusan mahkamah sebagai modal politik adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya, kata Adun Lembah Jaya.

Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, mengingatkan bahawa menggunakan keputusan mahkamah sebagai modal politik, menabur keraguan terhadap integriti hakim, atau membingkai sabitan jenayah sebagai agenda pihak tertentu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menghakis keyakinan awam terhadap institusi keadilan negara,” katanya, yang lebih dikenali sebagai Altimet, dalam kenyataan.
“Segala usaha untuk menggambarkan keputusan mahkamah sebagai konspirasi politik atau untuk mengapi-apikan sentimen awam terhadap badan kehakiman mesti ditolak sama sekali.”
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, dan denda RM11.387 bilion, ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, yang didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Menyusuli keputusan mahkamah, Syed Ahmad menyeru rakyat beri ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugas, menghormati keputusan yang dibuat mengikut lunas undang-undang, dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Najib akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan mahkamah, pada Isnin. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.