Friday, December 26, 2025

JPA tambah baik waktu kerja, elaun lebih masa penjawat awam

Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, jumlah jam bekerja seminggu pegawai kategori waktu bekerja bukan pejabat dikurangkan kepada 45 jam.

Anwar Ibrahim
Pegawai kerajaan yang bekerja melebihi 45 jam seminggu atau 45 jam purata empat minggu berturutan, mereka layak menerima elaun lebih masa mengikut syarat dan kadar yang ditetapkan.
PUTRAJAYA:
 Kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan berkaitan waktu bekerja dan tuntutan elaun lebih masa susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Dis lalu.

Menerusi penambahbaikan kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, jumlah jam bekerja seminggu bagi pegawai di bawah kategori waktu bekerja bukan pejabat (WBBP) dikurangkan satu jam kepada 45 jam seminggu termasuk waktu rehat, selaras dengan waktu bekerja pejabat.

Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 18 Dis, yang dikongsikan menerusi Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Surat pekeliling berkenaan dihantar kepada perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai panduan kepada kementerian/ jabatan/ agensi, satu Garis Panduan Pelaksanaan Tuntutan Elaun Lebih Masa telah disediakan dan dipinda sesuai dengan penambahbaikan yang dilaksanakan,” katanya dalam pekeliling itu.

Beliau berkata pegawai WBBP turut diberikan fleksibiliti dalam pengiraan tempoh bekerja apabila jumlah 45 jam seminggu boleh dipenuhi secara purata bagi empat minggu berturutan sekiranya jam bekerja bagi sesuatu minggu kurang daripada tempoh ditetapkan.

“Bagi pegawai yang bekerja melebihi 45 jam seminggu atau 45 jam purata empat minggu berturutan, pegawai layak menerima elaun lebih masa mengikut syarat dan kadar yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pengiraan 45 jam boleh dibuat secara purata bagi empat minggu berturutan untuk tujuan memenuhi syarat 45 jam waktu bekerja. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.