Masyarakat jangan berpakaian sempoi sangat dan penjawat awam usah pula lurus bendul tolak tepi budi bicara.

Oleh kerana cuaca negara kita selalunya panas dan kita suka sempoi lalu tidak mahu dilihat ‘overdress’, kita jadi tak pandai ‘dress up’. Boleh saya rumus begitu?
Begini. Kita dijemput hadir ke majlis perkahwinan. Sebab kita sempoi dan cuaca panas kita datang berpakaian sempoi. Termasuk di majlis yang diadakan pada waktu malam. Lazimnya, si lelaki sahaja. Wanita tidak. Pakaian mereka biasanya sesuai dengan majlis.
Justeru, sering dan selalu si lelaki datang ke majlis dengan mengenakan kemeja biasa. Itu pun kira Ok. Lagi Ok datang berbaju batik. Padankan dengan songkok boleh kata lagi ngam.
Namun, ada juga (ramai?) datang memakai jersi bola siap jenama penaja pasukan yang disokong terpampang di dada . Atau pakai baju-T ‘simple’.
Sempoilah katakan. Pada hal tuan rumah mengenakan pakaian kebangsaan jika beliau orang Melayu. Siap sampin songket dan songkok. Anggota keluarga pun pakai sama.
Memanglah si tuan rumah tidak hirau cara tetamu berpakaian (tak kan nak halau pula) dan tetap mengalu-alukan kedatangan tetamu.
Kadang-kala pada kad jemputan sudah dimaklumkan hadirin mesti berpakaian rasmi, tetapi si penerima jemputan abaikan arahan. Ia akan dituruti jika majlis diadakan orang kenamaan di hotel berbintang-bintang. Jika kawan ‘biasa’ minta maaf arahan tak perlu dipatuhi?
Tak kira diberi tahu atau tidak. Bagi saya mungkin secara tidak sedar tetamu berpakaian sempoi sudah tidak menghormati majlis rasmi yang besar ertinya buat orang yang menjemput tetamu.
Saya akui bukan niat tetamu mahu buat demikian. Tetapi, oleh kerana sempoi punya pasal tetamu menjadikan majlis seperti itu. Pada hal, majlis tidak diadakan sebagai sesuatu yang sempoi.
Saya pernah lihat tetamu bukan Melayu yang datang berseluar pendek (tetapi bukanlah seluar sukan). Meski pun kelihatan ‘smart’ dan segak mengikut fesyen kasual, ini bukan tempatnya untuk berkasual.
Hadir di majlis anjuran bukan Melayu juga ramai antara tetamu Melayu dan bukan Melayu datang berpakaian santai ketika tuan rumah berpakaian rasmi.
Bukan saya sarankan tetamu datang pakai sut, tuxedo segala macam (kalau boleh elok juga). Tetapi, datang dengan pakaian sesuai untuk hormat majlis dan hosnya. Bukan datang seperti tatkala pergi ke acara sukan atau ke pasar.
Untuk majlis kahwin Melayu (sekadar pandangan peribadi ) saya rasa amat sesuai berpakaian baju Melayu sama seperti pakaian tuan rumah. Memang ada rungutan berbaju Melayu agak leceh dan panas. Hakikatnya itu baju kebangsaan – baju orang Melayu.
Oleh kerana kita masyarakat sempoi ada juga kita pergi ke tempat rasmi seperti pejabat awam mahupun swasta ,mungkin juga sekolah dengan berpakaian kasual. Kadang-kadang terlalu kasual. Ini bagi saya ada unsur tidak hormat meskipun si pemakai tidak ada hasrat untuk tidak hormat.
Dipendekkan cerita, disebabkan kita tidak tahu macam mana hendak berpakaian mengikut keadaan dan tempat pihak berkuasa ‘terpanggil’ mengeluarkan garis panduan bagaimana kita mesti berpakaian semasa mengunjungi premis mereka.
Ini kerana, ada pengunjung yang berurusan rasmi memakai seluar pendek dan berselipar. Ini mengenakan pakaian yang tidak kena tempat. Lantas peraturan cara pemakaian di premis kerajaan dikeluarkan dan wajib diikuti.
Bagaimanapun, sering terjadi orang ramai dihalang masuk ke balai polis atau hospital hanya kerana dilihat tidak mematuhi peraturan atau garis panduan pakaian.
Perlu diingat ini ada berlaku pada waktu kecemasan. Tak kan mahu mereka pulang ke rumah tukar pakaian dan datang semula? Namun, diberitakan pernah terjadi.
Ada kala yang datang berpakaian yang saya kira bukanlah bertentangan dengan arahan berpakaian sopan. Umpamanya ada wanita dihalang ke premis kerajaan termasuk pejabat serta balai polis mahu pun hospital hanya kerana berskirt paras lutut.
Bagi saya ini bukan pakaian mencolok mata. Apa yang ghairahnya tengok lutut wanita?
Jika libatkan wanita Islam pada hemat saya berilah beliau kebebasan pakai apa yang disuka dan rasa selesa asal tidak keterlaluan. Janganlah ‘judgemental’.
Logiknya, penjawat awam yang berdepan dengan ‘masalah’ pengunjung dilihat tidak patuh garis panduan mesti menggunakan budi bicara berlandaskan keadaan atau suasana tertentu.
Tetapi, oleh kerana sudah berzaman mereka tidak diajar atau tidak dibenarkan berfikiran kritikal, mereka melaksanakan peraturan secara total atau pukul rata tanpa ambil kira suasana.
Mungkin mereka takut dituduh oleh bos mereka memandai-mandai buat keputusan sendiri, lalu mereka ikut peraturan dengan ketat kerana ‘saya yang menurut perintah’. Tolak tepi budi bicara.
Mungkin juga si bos yang mahu dilihat akur kepada perintah bos punya bos, ikut peraturan tanpa fikir panjang.
Baru-baru ini timbul aduan seorang wanita dan anak perempuannya diarah pulang ke rumah tukar pakaian kerana memakai skirt paras lutut, sebelum dibenarkan masuk ke balai polis untuk buat laporan kemalangan jalan raya.
Perkara ini sampai dibawa ke pengetahuan perdana menteri. Berikutan itu, kerajaan mengeluarkan arahan supaya dalam kes kecemasan orang ramai mesti dibenarkan masuk dan diberi layanan secepat mungkin. Ini membabitkan balai polis. Hospital bagaimana? Setahu saya ada arahan sama, tetapi tidak dikeluarkan secara menyeluruh.
Ingat saya ada arahan susulan seorang wanita tidak dibenar masuk hospital untuk menziarah anggota keluarga di wad. Ini juga kerana wanita mengenakan pakaian tidak berlengan dan berparas lutut. Tak tahu apalah salah si lutut.
Kesimpulannya oleh kerana masyarakat kita sempoi, suka pakai kasual dan kakitangan kerajaan pula ‘lurus bendul’, dan ada yang ikut interpretasi sendiri, kerajaan mesti keluarkan arahan pakaian secara terperinci dan spesifik. Biarlah berjela-jela asal jelas dan terang .
Oh seperkara lagi. Kerajaan pun kena fikirlah apa yang mereka mahu laksanakan sebenarnya? Sesuatu arahan yang sederhana dan realistik? Atau peraturan ala-Taliban? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.