Monday, December 29, 2025

Krisis MB Perlis ujian sebenar ukhwah PAS-Bersatu

A Aziz Azizam dari UiTM berkata cabaran utama selepas perubahan kepimpinan itu ialah keupayaan Bersatu memulihkan kepercayaan PAS.

pemimpin bersatu pas
Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin perlu meyakinkan rakyat yang gabungan itu mampu menguruskan konflik dalaman secara matang membabitkan Bersatu-PAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Krisis politik di Perlis menyaksikan kerusi menteri besar beralih kepada Bersatu daripada PAS dilihat ujian getir terhadap keutuhan hubungan dua tonggak utama dalam Perikatan Nasional (PN) itu, kata pemerhati politik.

A Aziz Azizam daripada Universiti Teknologi Mara berkata cabaran utama selepas perubahan kepimpinan kepada Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah daripada Adun Sanglang Shukri Ramli itu ialah keupayaan Bersatu memulihkan kepercayaan PAS.

Menurutnya, PN yang diketuai Muhyiddin Yassin juga perlu meyakinkan rakyat bahawa PN mampu menguruskan konflik dalaman secara matang.

“Soal ukhwah dan kesepakatan dalaman dalam PN khususnya antara PAS dan Bersatu, masih menjadi persoalan besar yang akan diperhatikan dengan teliti oleh orang awam.

“Orang ramai akan melihat sama ada perselisihan ini dapat diselesaikan secara berhemah atau terus dibawa ke ruang polemik politik yang berpanjangan,” katanya kepada FMT.

Susulan pelantikan Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis, segelintir pemimpin PAS menyuarakan rasa tidak puas di media sosial dengan ada di antaranya membangkitkan soal ‘pengkhianatan’ dan ‘kawan makan kawan’.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah antaranya menulis: “Apakah retak menanti belah”, dalam hantaran di Facebook.

Sementara itu, Abu Bakar yang juga ketua Bersatu Perlis pula berharap perbalahan di negeri itu diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan hubungan dalam PN terus kekal.

Kemelut menteri besar Perlis bermula apabila lapan Adun PN menyerahkan akuan berkanun yang memaklumkan mereka tidak lagi menyokong Shukri, termasuk tiga dari PAS iaitu
Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), menyebabkannya mereka terhenti keahlian.

Selain Abu Bakar, Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Shukri meletak jawatan menteri besar Perlis pada Khamis, atas faktor kesihatan.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berkata PAS wajar menilai semula jajaran politiknya termasuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada 2019 bersama Umno.

Menurutnya, ia bagi memastikan agenda Melayu-Islam terus dipertahankan.

“Bersatu banyak bergantung kepada PAS dalam setiap PRK dan PRU.

“Namun kali ini PAS bukan sahaja kehilangan tiga kerusi, malah hilang pemerintahan Perlis,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.