Sidang Kemuncak Asean jadi ruang penting satukan pandangan, rapatkan jurang antara negara anggota, kata perdana menteri.

Anwar selaku pengerusi Asean 2025 berkata, Sidang Kemuncak Asean Ke-46 dan Ke-47 menjadi ruang penting untuk menyatukan pandangan serta merapatkan jurang antara negara anggota dalam menghadapi pelbagai cabaran serantau dan global.
“Tahun ini turut mencatat detik bersejarah apabila Timor-Leste diterima sebagai keluarga baharu Asean,” katanya.
Perdana menteri berkata demikian menerusi hantaran di Facebook malam ini, yang turut disertakan dengan video memaparkan detik-detik bersejarah negara sepanjang berlangsungnya Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh sahabat Asean serta pimpinan dunia yang hadir dengan kebijaksanaan dan keikhlasan demi kestabilan serta masa depan bersama rantau ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan layanan mesra yang dihulurkan kepada tetamu sepanjang tempoh kepengerusian itu.
“Kepengerusian ini mengangkat Malaysia sebagai rakan yang diyakini dalam usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan harapan di rantau ini. Semoga ia berkekalan, insyaAllah,” katanya.
Ini kali kelima Malaysia menjadi pengerusi Asean sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Filipina mengambil alih jawatan pengerusi Asean daripada Malaysia pada 2026. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.