Sunday, December 28, 2025

MB baharu Perlis mahu segera selesai perbalahan

Abu Bakar Hamzah yang baharu angkat sumpah sebagai menteri besar Perlis berharap hubungan PN kekal baik hingga habis penggal.

Abu Bakar Hamzah (kiri) yang juga ketua Bersatu Perlis mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-12, menggantikan Adun Sanglang Shukri Ramli (kanan) daripada PAS yang meletak jawatan atas faktor kesihatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Menteri Besar Perlis yang baharu Abu Bakar Hamzah mahu perbalahan yang berlaku di negeri itu diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) terus kekal.

Adun Kuala Perlis dari Bersatu itu berkata tidak timbul isu sama ada PAS atau Bersatu lebih atau kurang baik, tetapi apa yang penting adalah menjadikan pembangunan Perlis setanding negeri lain, lapor Bernama.

“Dari segi politik kita akan kekal dalam pasukan PN. PAS dan Bersatu adalah sebuah keluarga, apa juga perbalahan akan diselesaikan dalam masa terdekat dan saya amat berharap hubungan PN kekal baik hingga habis penggal,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beliau juga menyambut baik titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu semua Adun PN di negeri itu kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri dan rakyat.

Mengenai barisan exco negeri, beliau berkata pihaknya akan melakukan sedikit rombakan dan akan memastikan agihan portfolio adalah seimbang antara Adun PAS dan Bersatu.

“Selepas selesai beberapa perkara akan diadakan rombakan exco dan kita akan seimbangkan sebab PN adalah gabungan PAS dan Bersatu dan insya-Allah akan letakkan kesamarataan,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar yang juga ketua Bersatu Perlis mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-12, menggantikan Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS yang meletak jawatan atas faktor kesihatan, Khamis lalu.

Sebelum ini, lapan Adun PN iaitu lima Bersatu dan tiga PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) yang memberitahu menarik balik sokongan terhadap Shukri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.