Sunday, December 28, 2025

MN2.0: Boleh pi ke?

Cadangan hidup semula MN timbul ketika hubungan PAS-Bersatu dilihat renggang, namun persoalan adakah serius atau sekadar sindiran politik.

Mohsin Abdullah

Adakah wajar Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula? Dan adakah sekarang masanya untuk berbuat demikian? Akmal Salleh si ketua Pemuda Umno seem to think so atau begitulah yang dipamerkan.

Saya tidak tahu sama ada cadangan MN diwujudkan semula sesuatu yang serius atau sekadar ambil kesempatan (krisis politik Perlis) untuk menyakat, memperli mahu pun menyerang PAS? Atau mungkin kedua duanya? Yakni serius dan sakat, perli, serang pada masa yang sama sekali gus?

Akmal melontar cadangan agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan berikutan kemelut terbaharu dalam gabungan itu terutama berkaitan isu menteri besar Perlis. Umno katanya sejak sebelum PRU15 telah menggesa PAS supaya memperkasakan MN dan bukan PN.

Sebentar. Elok imbau kembali. MN ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019 setelah Umno kalah PRU14 setahun terdahulunya dan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan. Bagaimanapun selepas kejatuhan kerajaan PH (akibat Langkah Sheraton) dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri.

PAS yang terlibat dengan langkah itu lantas dapat duduk dalam kerajaan, memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan membentuk PN. Tindakan ini dianggap Umno sebagai pengkhianatan. Umno juga tuduh PAS main dua kolam.

PAS gesa Bersatu dimasukkan dalam MN. Umno bantah. Umum tahu ‘bad blood’ antara Umno dengan Bersatu. Lantas MN tamat riwayatnya pada Oktober 2022. Umno dengan BN, PAS bersama Bersatu dalam PN.

Namun PAS ada juga daripada semasa ke semasa mengutarakan kepada Umno idea untuk MN dihidupkan semula. Sebabnya saya pasti ramai boleh agak maka tidak perlu dihuraikan.

Yang menarik cadangan PAS dibuat meskipun Presidennya Hadi Awang menegaskan rancangan MN yang baharu tidak boleh membabitkan Zahid Hamidi selaku presiden Umno.

Berbalik cadangan Akmal, perhatikan kata-katanya menerusi hantaran di Facebook: “Hari ini baru nampak belang masing masing kena tikam belakang.”

Beliau merujuk tindakan lapan Adun Perlis (tiga PAS dan lima Bersatu) tempoh hari yang tandatangani SD tarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu Shukri Ramli. Semua tahu beliau sudah pun melepaskan jawatan.

Kata Akmal lagi: “Alang alang bubar sekalilah Perikatan Nasional, kita wujud semula Muafakat Nasional, amacam”? Saya ulang tanya-beliau serius atau hanya ‘rub it in’?

Cadangan itu bagaimanapun dilihat dibuat kena pada waktunya kerana hubungan PAS-Bersatu dewasa ini tidak pada tahap sihat dan tunjuk tanda boleh bertambah parah.

Umno sudah tidak perlu susah payah bantah kehadiran Bersatu dalam PN. Kerana PAS dan Bersatu sudah rengang (sekadar guna istilah lembut).

Untuk cadangan Akmal menjadi kenyataan PAS mesti putus hubungan dengan Bersatu lantas bubarlah PN. Apa akan jadi dengan Bersatu dan komponen lain dalam PN? Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

Buat masa ini dan menurut konteks artikel ini tidak perlu speculate langkah parti parti itu seterusnya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyambut baik cadangan Akmal. Tetapi ada syarat. Iaitu Umno mesti keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan (baca keluar kerajaan Madani).

Cadangan beliau pun boleh dilihat kena pada waktunya kerana Umno sedang kecewa berikutan keputusan mahkamah beberapa hari lalu berkaitan kes Najib Razak, bekas presiden mereka. Umno juga marah apabila ada pemimpin DAP dan PKR gembira menyambut baik keputusan mahkamah.

Memang ada di kalangan Umno yang mahu parti mereka tinggalkan kerajaan dan faktor yang disebut tadi dikatakan pendorong. Namun saya pernah tulis Umno hanya acah-acah mahu keluar kerajaan dan bergerak solo apabila PRU16 diadakan kelak.

Menerusi Facebook, Fadhli juga berkata: “Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah. Tahniah Ketua Pemuda Umno. Hidupkan kembali rundingan, tubuh JK (jawatankuasa) Perunding.”

Adakah beliau serius? Atau perli? Jadi batu api? Tak mungkin lupa pesanan Hadi tiada kerjasama dengan Umno jika membabitkan Zahid? Apa pun berkata lagi Fadhli: “Sebaik sahaja Umno/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH kita lancar terus Muafakat Nasional”.

Membawa saya kepada satu dialog yang tidak tahu siapa yang cipta.

Barangkali anda juga ada mengikutinya pada platform media sosial atau pun menerusi pesanan WhatsApp. Bunyinya begini:

PAS: Awak keluar dulu.
Umno: Awaklah keluar dulu
PAS: Tak boleh, awaklah keluar dulu
Umno: Mana boleh, awak kena keluar dulu
PAS : Awak keluar dulu awak orang Islam
Umno: Awak keluar dulu awak orang Melayu.
PAS : Jadi? Awak keluar dulu ?
Umno : Jadi apa ? Awak keluar dulu.
Begitu seterusnya – berulang ulang agak panjang sampai habis. Rasanya umum faham apa yang dimaksudkan dan mahu disampaikan orang mengilhamkan dialog ini. Bijak orangnya.

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.