Seorang pemerhati politik menjangka senario begini: Hamzah Zainudin jadi pengerusi PN manakala timbalannya Ahmad Samsuri Mokhtar.

Muhyiddin Yassin letak jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional. Habis cerita? Tidak. Beliau kekal presiden Bersatu. Ketika artikel ini ditulis, Bersatu masih duduk dalam Perikatan Nasional. Nampak gaya panjang lagi cerita ini.
Azmin Ali ikut sama melepaskan jawatan setiausaha agung PN. Katanya, Muhyiddin yang lantiknya dulu jadi bila Muhyiddin letak jawatan beliau terpanggil menyusuli. Logik?
Azmin turut melepaskan jawatan pengerusi PN Selangor. Sahruddin Jamal, pengerusi PN Johor pun letak jawatan. Ahmad Faizal Azumu lepaskan jawatan pengerusi PN Perak. Mohamad Hanifah Abu Bakar ambil langkah sama letak jawatan pengerusi PN Negeri Sembilan. Seakan ada kesan domino. Adakah ini orchestrated susulan apa yang berlaku di Perlis?
Seperti Muhyiddin, mereka yang lepaskan jawatan PN kekal dalam Bersatu, lantas Bersatu boleh jadi duri dalam daging untuk PAS-PN.
Contoh: Di Perlis, PAS kata ia komited untuk meneruskan ‘kelangsungan’ dan ‘keberadaan’ dalam kerajaan negeri tetapi pada masa yang sama tidak akan menganggotai barisan exco. Pada hemat saya, Bersatu juga boleh komited meneruskan kelangsungan dan keberadaan PN dan pada masa tidak terlibat dalam barisan pimpinan tertinggi, sekali gus tidak ada kena mengena dengan sebarang keputusan dan tindakan diambil PN pusat. Lantas ada pemerhati politik mengaju pertanyaan adakah PN sedang implode?
Apa pun PAS sekarang bebas untuk melantik sesiapa yang dihajati sebagai pengerusi PN. Selama ini pun PAS memang dilihat terajui PN, erti kata lain bos PN. Ringkasnya, PAS bebas buat apa yang ia mahu. Namun begitu juga Bersatu. Ia pun boleh buat apa yang ia mahu meskipun duduk dalam PN.
Kalau Bersatu keluar nak pergi mana? Selama ini memang Bersatu memerlukan PAS untuk survive. PAS juga perlu Bersatu untuk beri PN imej kepelbagaian dalam impian untuk menang pilihan raya.
PAS anggap Bersatu sebagai parti yang akan atau boleh beri wajah moderate pada PN berbanding wajah Islamis garis keras PAS. Imej moderate atau toleran sesungguhnya amat penting untuk memikat pengundi bukan Melayu bukan Islam, dan blok Borneo. Tanpa sokongan itu impian tinggal impian.
Meskipun Bersatu dilihat tidak berjaya memainkan peranan memikat undi bukan Melayu untuk PN, PAS tetap bergantung harap berbanding komponen lain — Parti Gerakan dan Parti india Rakyat Malaysia. Kedua-dua parti itu tidak efektif.
PAS boleh melantik Hamzah Zainudin si timbalan presiden Bersatu sebagai pengerusi PN dan andai menang Hamzah akan jadi perdana menteri. Bukan rahsia besar sekian lama PAS sokong Hamzah dan tidak berkenan akan Muhyiddin. Saya pernah menulis PAS rela melantik orang bukan PAS sebagai pengerusi PN — politikus yang diharap boleh diterima orang Melayu dan bukan Melayu — sekali gus poster boy gabungan atas sebab yang disebut tadi.
PAS lebih rela jadi kuasa di belakang mahkota asalkan si pemakai mahkota senada dengan mereka (dan ikut kata?).
Seorang pemerhati politik kenalan saya menjangka senario begini: Hamzah jadi pengerusi PN manakala timbalannya Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengikut struktur PN, pemimpin empat parti komponen sememangnya ditempatkan sebagai timbalan pengerusi. Dewasa ini mereka ialah Presiden PAS Hadi Awang bersama Presiden Gerakan Dominic Lau dan Presiden MIPP Punithan Paramsiven, serta Hamzah.
Bukanlah masalah jika Hamzah dinaikan sebagai pengerusi dan Samsuri dibawa ke jawatan timbalan pengerusi. Jawatan sama dengan Dominic dan Punithan tetapi status Samsuri jauh bezanya. Tidak perlu dihuraikan. Semua faham maksudnya. Dalam lain perkataan Samsuri lah ‘pengerusi sebenar’.
Menurut pemerhati politik berkenaan, beliau jangka Muhyiddin boleh main peranan ‘mentor’ manakala Hamzah “take the lead to maintain the Bersatu structure”.
Cuma pertanyaan susulan saya, di mana letaknya Azmin? Umum tahu Azmin juga punya cita-cita sendiri. Ramai percaya jika Hamzah cabar Muhyiddin untuk jawatan presiden Bersatu, Azmin akan tanding kerusi timbalan presiden. Kata seorang penganalisis politik: “saya tidak yakin Hamzah boleh tumpaskan Muhyiddin (untuk jawatan presiden Bersatu)”.
Muhyiddin pernah kata ini penggal terakhir sebagai presiden. Jika Muhyiddin tidak mahu pertahan jawatan, Azmin akan masuk gelanggang untuk bertembung dengan Hamzah. Perlu dinyatakan cabaran Azmin tidak boleh dipandang enteng.
Bagaimanapun semua percaturan ini hanya boleh terjadi ketika pemilihan Bersatu kelak, dan ia akan hanya berlangsung pada 2027. Kemungkinan besar PRU16 diadakan pada 2027.
Jika sekarang atau waktu terdekat ini Hamzah selaku timbalan presiden parti dijadikan pengerusi PN oleh PAS, ia bukanlah sesuatu yang pelik. Ingat Ismail Sabri Yaakob? Beliau jadi perdana menteri ketika pegang jawatan naib presiden Umno.
Andai PAS jadikan Hamzah pengerusi PN, adakah Bersatu akan menyokong beliau? Benar beliau ada penyokong dalam Bersatu tetapi melebihi jumlah penyokong Muhyiddin dan Azmin? Adakah beliau tertakluk pada peraturan dan tindakan tertentu parti kelak?
Dalam pada itu, Muhyiddin dikatakan cuba memperkukuh Ikatan Prihatin Rakyat yang beliau ilhamkan tidak lama dulu, membabitkan 11 parti politik di luar blok kerajaan — kebanyakannya parti Melayu kecil. Parti bukan Melayu juga kecil tetapi dikatakan tidak senang jika PAS berada dalam ikatan itu, lantas PAS tidak ada di dalamnya. Hakikatnya ikatan ini bukan gabungan kuat.
Hebat politik Malaysia. Banyak yang berlaku pada penghujung tahun ini. Berkata seorang kawan lama: “nak sambut tahun 2026. New chapter in Malaysian politics. New image, old faces.”
Selamat tahun baharu buat semua. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.