Thursday, December 25, 2025

Satukan ummah asas MN, tak akan berjaya tanpa Bersatu, Afnan ulas idea Akmal

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden percaya mengutamakan kepentingan peribadi atau kelompok akan jejas usaha menyatukan ummah.

Afnan Hamimi holds a Press Conference "Youth Reject URA"
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden bersetuju dengan idea Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tentang menghidupkan semula MN.
KUALA LUMPUR:
 Penyatuan ummah yang menjadi asas Muafakat Nasional tidak akan berjaya tanpa Bersatu, tegas ketua Pemuda PAS ketika pemimpin Umno menimbulkan kembali idea MN susulan kemelut di Perlis.

Afnan Hamimi Taib Azamudden beritahu FMT bahawa beliau percaya mengutamakan kepentingan peribadi atau kelompok akan menjejaskan usaha menyatukan orang Islam.

“MN dibina atas semangat penyatuan ummah. Saya yakin Bersatu akan bersama jika mereka mengutamakan penyatuan ummah,” katanya.

“Tidak boleh ada kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok tertentu dalam membina penyatuan ummah ini. Jika ada individu begitu, usaha ini tidak akan berjaya.”

Afnan berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan Bersatu, selepas beliau dan seorang pemimpin PAS lain bersetuju dengan idea Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

“Setuju MN dihidupkan semula, selepas Umno putus hubungan dengan Pakatan Harapan,” kata Ahli Parlimen Alor Setar ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata cadangan Akmal untuk menghidupkan semula MN kunci kebangkitan semula ummah.

Akmal menimbulkan idea tersebut susulan laporan bahawa lapan Adun, yang mana lima dikatakan daripada Bersatu, menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Shukri Ramli.

Pemimpin Umno itu mencadangkan agar PN dibubar dan MN diwujudkan semula. Fadhli pula mencadangkan MN dilancarkan terus sebaik sahaja Barisan Nasional isytihar keluar gabungan dengan PH.

Situasi di Perlis membawa kepada pemimpin PAS, Shukri Ramli, melepaskan jawatan menteri besar, petang tadi.

MN ditubuhkan pada Sept 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan PH pada PRU14.

Pakatan itu terkubur selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu dan pada masa sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.