Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata selain itu ekosistem pendidikan tahfiz akan terus diperkasa menerusi dasar dan tadbir urus jelas.

Zahid berkata, SPTM itu bertujuan memperkasakan kualiti pendidikan tahfiz dan menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz.
Beliau berkata, di bawah inisiatif itu, antaranya sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan dengan 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM akan diberikan insentif RM50,000 setiap satu.
“Ini bukan sekadar angka, bukan sekadar wang ringgit, tetapi ini satu suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkatkan kualiti dan juga amalan terbaik serta menjadi institusi cemerlang supaya kita ketengahkan sebagai model institusi tahfiz Malaysia, insya-Allah,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara ‘Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani’ di Masjid Tuminah Hamidi, di Bagan Datuk.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir. Lebih 25,000 huffaz dari seluruh negara termasuk orang ramai menyertai himpunan berkenaan.
Sementara itu, Zahid berkata di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), ekosistem pendidikan tahfiz akan terus diperkasakan menerusi dasar, standard, dan tadbir urus yang jelas.
“Melalui DPTN 1.0 telah mendapati sebanyak 84% dasar-dasar itu telah diselaraskan, dilaksanakan di seluruh maahad tahfiz di negara kita.
“Dari segi pendidikan tahfiz sebagai satu ekosistem pendidikan yang baharu, kini terdapat 1,401 institusi tahfiz yang melibatkan 10,081 asatizah atau guru dan sebanyak 61,494 pelajar terlibat dalam ekosistem pendidikan tahfiz atau menjadi huffaz baharu. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata, melalui DPTN 2.0, beberapa instrumen penting telah diperkukuh termasuk pembangunan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM).
“… dan juga melakukan pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 dengan pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), juga menyediakan skim pembiayaan huffaz, serta usaha penyelarasan STM (Sijil Tahfiz Malaysia) ini bagi melahirkan huffaz yang berdaya saing, berkemahiran, dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid turut berkongsi pencapaian pendidikan tahfiz yang dilahirkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan, termasuk di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
“Saya ingin berkongsi dengan para hadirin sekalian. Di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Fakulti Aeroangkasa yang 90% pelajarnya terdiri huffaz.
“Fakulti Kejuruteraan Marin pula sebanyak 93% pelajarnya terdiri daripada mereka telah menjadi huffaz. Bukan sekadar itu, di Uniten terdapat 534 huffaz yang mengikuti kursus kejuruteraan, sama ada kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan mekanikal.
“Keputusan peperiksaan pelajar-pelajar ini kebanyakannya memperoleh CGPA 3.5 dan ke atas. Ini merupakan satu pencapaian yang baik.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.