Saturday, December 20, 2025

Tular rotan pelajar tahfiz, polis tunggu arahan pendakwa

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata keterangan warden lelaki itu sudah diambil namun belum ada tangkapan.

Seorang pelajar lelaki
Pelajar lelaki 11 tahun dirotan lelaki dipercayai warden maahad tahfiz sekitar 2 pagi, dalam kejadian September lalu.
PETALING JAYA:
 Polis mengesahkan kejadian tular seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim, pada September lalu.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata kejadian yang berlaku pada 29 Sept itu melibatkan seorang murid lelaki 11 tahun.

“Kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku apabila seorang lelaki yang dipercayai warden maahad tahfiz itu merotan murid berkenaan kerana telah mengganggu murid-murid lain yang sedang belajar. Murid yang tinggal di Padang Serai itu baru masuk ke maahad tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan lepas.

“Apabila ibu bapa murid itu mengambil anak mereka, didapati terdapat kesan lebam pada anggota badannya. Bapa murid itu kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Okt dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada awalnya,” katanya kepada Bernama.

Adzli berkata, warden lelaki yang berusia 26 tahun itu telah diambil keterangan dan buat masa ini masih belum ada tangkapan dibuat.

Beliau berkata, pihaknya yang kemudiannya mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu telah menghantar bukti berkenaan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Dis dan sedang menunggu arahan selanjutnya.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. Nanti saya akan maklumkan perkembangan kes,” katanya.

Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.