Tuesday, March 31, 2026

Kalau perang ini ‘reset’ dunia

 Andainya peperangan hari ini berlarutan sehingga melumpuhkan pergerakan dunia, ke manakah arah hidup hendak kita halakan?

ronasina

Hari ini di media sosial kita boleh baca dan tonton begitu banyak hantaran serta ulasan tentang perang di Iran. Malah, Hari Raya kali ini perbualan saya dengan rakan-rakan juga banyak berkisar tentang perang. Tidak hanya mengulas kecanggihan teknologi pertahanan Iran serta kebijaksanaan strategi mereka menjadikan Selat Hormuz sebagai ‘senjata sulit’ untuk membuat Israel dan Amerika Syarikat pucat, kami juga membincangkan kesan peperangan ini yang pastinya akan membuat darah kita semua, satu dunia menjadi terencat.

Saya membayangkan apa akan jadi jika Amerika Syarikat dan Israel terus berkeras untuk membedil sementara Iran pula membalas dengan ikrar ‘menang jadi arang, kalah jadi abu?’ Sudah tentu kemusnahan telaga minyak, gangguan bahan api dan lumpuhnya talian internet akan mencampakkan kita kembali kepada keadaan yang jauh lebih teruk daripada apa yang kita nikmati hari ini. Apa tidaknya, hampir segala keperluan asas yang berfungsi dalam kehidupan moden kita zaman ini memerlukan tenaga elektrik dan tenaga ini banyak bergantung kepada bahan api. Jika bahan api lumpuh, bayangkan berapa banyak sistem akan terhenti serentak. Malah, ada yang terus lenyap. Alternatif kepada kemudahan ini masih belum cukup kukuh untuk menampung skala kehidupan moden kita sekarang. Akibatnya, cara hidup kita boleh sahaja balik kepada kosong (‘reset’) – daripada lengkap dengan segala kemudahan dengan sentuhan di hujung jari tiba-tiba menjadi terbatas dan lesap.

Elektrik terganggu, bekalan air terputus, internet tiada, pergerakan terhad dan rantaian bekalan keperluan tersekat. Habislah! Kita terpaksa belajar semula hidup dengan serba kekurangan. Selalunya kita menggelabah apabila bekalan elektrik terputus walaupun tak sampai setengah jam, tapi kali ini elektrik langsung tak boleh diharapkan lagi. Tak ke haru?

Saya berfikir barangkali peristiwa besar seperti peperangan begini memang akan berlaku dalam tempoh 100 tahun dunia berjalan. Bermakna seumur kita hidup kita akan mengalami juga cabaran ini. Generasi atas kita yang kita sempat tengok ialah generasi yang pernah melalui dua perang dunia di mana perang ini telah mengubah peta politik, ekonomi dan kehidupan manusia secara drastik. Bagaimanapun, generasi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua kebanyakannya kini telah tiada. Kita semua adalah generasi selepasnya iaitu generasi yang menikmati tempoh panjang kestabilan hidup, yang belum benar-benar teruji dari sudut ketahanan survival. Jika dunia berubah secara mendadak, mampukah kita mengharunginya?

Entah kenapa sampai ke sini khayalan saya. Mungkin kerana kita juga pernah membaca beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menggambarkan pada suatu masa nanti, manusia akan berdepan dengan zaman yang penuh kekacauan sehingga cara hidup berubah menjadi kembali mundur. Misalnya, terdapat riwayat yang menyebut Nabi Isa akan membunuh dajal di pintu gerbang Kota Ludd di Palestin dengan bersenjatakan tombak. Terdapat juga hadis yang menggambarkan 10 pahlawan berkuda berada di barisan hadapan menentang dajal.

Memang ada ulama mentafsirkan penggunaan tombak dan kuda itu hanya sebagai kiasan. Namun, ada juga pandangan yang melihat gambaran tersebut sebagai kemungkinan manusia kembali menggunakan kaedah lebih asas akibat kemusnahan besar berlaku sebelumnya disebabkan tangan manusia itu sendiri yang melampaui batas.

Al-Quran juga ada mengisahkan tentang kaum ‘Ad yang memiliki binaan hebat dengan tiang-tiang tinggi sebagaimana disebut dalam Surah al-Fajr ayat 7 dan 8, serta kaum Thamud yang mahir memahat rumah di gunung sebagaimana disebut dalam Surah al-A’raaf ayat 74. Kedua-dua tamadun ini digambarkan sebagai kuat dan maju pada zaman mereka, tetapi akhirnya lenyap. Hari ini hanya sedikit kesan yang tinggal dan sebahagian besar kewujudan mereka hanya kita kenali melalui kisah dan sirah sahaja.

Ternyata dalam sejarah manusia, ada zaman tertentu di mana berlaku peristiwa seolah-olah ia satu bentuk ‘reset’. Tamadun yang diriwayatkan kukuh akhirnya runtuh dan lebur sehingga kita tidak mendengar apa-apa lagi tentang mereka. Kehidupan baharu dibina semula oleh generasi kemudiannya sebagaimana kaum Thamud menggantikan kaum ‘Ad.

Kita mungkin berkata, mustahil perkara sebegini akan berlaku lagi pada zaman serba moden hari ini kerana kita tidak lagi menyaksikan peristiwa luar biasa seperti burung merejam batu kepada tentera bergajah Abrahah atau laut terbelah dua oleh tongkat Nabi Musa. Saya fikir, barangkali mereka yang hidup pada zaman tersebut juga tidak melihat peristiwa itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan pelik atau suatu petanda daripada kuasa besar yang dipanggil tuhan. Mungkin mereka melihatnya sebagai satu bentuk bencana semula jadi, sebagaimana kita hari ini melihat taufan, gempa bumi, wabak virus atau peperangan yang meragut ribuan nyawa. Agaknyalah, menurut akal cetek saya. Tetapi, jika peristiwa pelik yang berlaku di hadapan mata mereka itu benar-benar mereka rasa datangnya daripada tuhan, tak siapa dapat menceritakannya kepada generasi seterusnya kerana ke semua mereka telah lenyap.

Saya berfikir lagi andainya peperangan hari ini berlarutan sehingga melumpuhkan pergerakan dunia, ke manakah arah hidup hendak kita halakan? Apakah dalam kecelaruan ini kita tak lagi memikirkan soal survival hidup tetapi akan kembali mencari pedoman daripada kitab suci untuk bersiap menghadapi mati pula kerana berpandangan hidup sudah tak bermakna lagi. Atau kita terus tenggelam tak peduli sehingga hidup kita jadi hilang arah?

Waduh! Nampaknya kuat juga penangan perang di Iran kali ini sehingga saya mula berandai-andaian. Amat ketara sekali kita yang jauh dari medan berapi sana dan hanya menerima tempias ekonomi sahaja pun sudah mula merasa resah dan gelabah. Bagaimanalah agaknya mereka yang berhadapan sendiri dengan peluru dan bom setiap hari?

Di situ sahaja sebenarnya sudah cukup untuk membuat kita mengukur tahap ketahanan diri kita berhadapan ujian. Kita mungkin belum diuji dengan kehilangan segalanya, tetapi sedikit bayangan kemungkinan itu pun sudah cukup membuatkan kita tak tidur malam. Berdoalah kita semua yang tak lasak ini, agar perang segera berhenti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.