Tuesday, March 31, 2026

Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti kerabat diraja diturunkan

 Fahmi Fadzil berkata, tindakan dilaksanakan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan SKMM serta laporan pelbagai pihak dari 1 Jan hingga 28 Mac.

FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, satu mesyuarat bersama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha tangani jenayah penipuan libat teknologi AI.
KUALA LUMPUR:
 Lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah diturunkan sejak awal tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta laporan yang dibuat daripada pelbagai pihak bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Mac.

“Semalam, saya telah persembahkan kepada Agong beberapa perkara agak membimbangkan. Berdasarkan dapatan SKMM, lebih 10,000 akaun palsu menyalahgunakan identiti sama ada Agong, Raja Permaisuri Agong, kerabat-kerabat diraja, telah diturunkan.

“Trend ini tidak berkurangan. Hampir setiap hari, SKMM memaklumkan jumlah akaun palsu yang mengguna pakai nama-nama antara lain Sultan Pahang, menyalahgunakan identiti Tengku Mahkota Pahang, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, terlalu banyak,” katanya selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Broadcasting Symposium 2026 (DBS 2026) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuannya mempersembahkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (Onsa) 2025 kepada Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku semalam.

Fahmi berkata, Agong turut menitahkan supaya Kementerian Komunikasi dan SKMM mengambil tindakan pantas dan tegas termasuk menggunakan akta tersebut bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang negara.

Langkah itu, katanya, penting bagi mengelakkan identiti kerabat diraja terus diperalat bagi tujuan penipuan.

“Malangnya pada waktu ini, pihak Meta sangat-sangat lembab. Mereka tidak pandang serius langsung isu ini dan inilah yang menyebabkan pihak SKMM dan saya sendiri berasa sangat kecewa, tetapi kita akan tegas melaksanakan Onsa,” katanya.

“Pada waktu ini, ada beberapa instrumen subsidiari yang perlu disiapkan dan diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangkakan menjelang, mungkin dalam tempoh beberapa minggu kalau tidak sebulan yang akan datang, kita akan boleh mula laksanakan.”

Selain itu, Fahmi berkata, satu mesyuarat bersama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha menangani jenayah penipuan melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk penipuan ‘deepfake’.

Mesyuarat itu, katanya, akan menghimpunkan pelbagai agensi termasuk polis, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, SKMM, Jabatan Peguam Negara serta agensi berkaitan yang lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.