Ketegangan di Timur Tengah menggugat laluan utama tenaga dunia membawa lonjakan harga minyak dan kos pengguna.

Dikelilingi oleh Iran di sebelah utara serta Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bahagian selatan, selat itu melebar kira-kira 50km pada pintu masuk dan keluarnya, selain menyempit sekitar 33km pada titik yang paling sempit.
Namun, selat yang dinamakan sempena sebuah pulau kecil terletak antara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dan Teluk Oman itu bertindak sebagai pintu masuk utama ke pasaran antarabangsa.
FMT menyorot lebih mendalam mengapa selat ini amat penting dan apakah kesan gangguan setakat ini terhadap perdagangan global dan Malaysia.
Siapa guna Selat Hormuz dan mengapa?
Laluan air itu juga membawa kira-kira 20% bekalan gas asli cecair (LNG), di mana sebahagian besar dari Qatar.
Ia merupakan laluan eksport utama bagi pengeluar besar seperti Arab Saudi, Iran, dan Iraq, dengan kebanyakan penghantaran menuju ke pasaran Asia termasuk China, Jepun, dan India.
Selain tenaga, selat berkenaan turut memudahkan penghantaran baja, helium, dan bahan petrokimia, selain bertindak sebagai laluan import utama ke rantau tersebut bagi barangan makanan, perubatan, dan teknologi.
Peningkatan ketegangan, laluan disekat
Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, trafik kapal harian merosot mendadak—daripada sekitar 130 kapal sehari kepada hanya 90 bagi keseluruhan bulan itu, menurut data penjejakan maritim.
Bagaimanapun, sejak 25 Mac, Tehran hanya membenarkan laluan selamat bagi kapal ‘bukan musuh’ yang menyelaraskan perjalanan dengan pihak berkuasa negaranya.
Ketua Pengajian Politik, Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi di Universiti Nottingham Malaysia, Benjamin Barton, berkata situasi semasa tidak sampai kepada tahap penutupan sepenuhnya.
Beliau berkata, terdapat penghantaran minyak dan gas, terutamanya terkait negara yang mengekalkan hubungan perdagangan dengan Iran, masih dibenarkan melaluinya walaupun berisiko tinggi.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 18 kapal dagang telah diserang dalam atau berdekatan Selat Hormuz dan kawasan Teluk Parsi yang lebih luas, sejak akhir Februari.
Kesan ke atas harga minyak global
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyifatkan situasi tersebut antara kejutan bekalan paling buruk dalam sejarah moden, yang sebahagiannya berpunca daripada pengurangan trafik melalui selat itu.
Meskipun dilepaskan bekalan sebanyak 400 juta tong daripada simpanan strategik oleh 32 negara, harga minyak global kekal tinggi, dengan minyak mentah Brent berlegar pada sekitar USD100 setong — kira-kira USD30 lebih tinggi daripada paras sebelum konflik.
Barton berkata, impaknya sudah mula dirasai di pelbagai tahap ekonomi, bukan lagi sekadar kenaikan harga bahan api.
Katanya, kos tenaga lebih tinggi berkemungkinan akan diserap masuk melalui rantaian bekalan, sekali gus menjejaskan keseluurhan sektor pembuatan sehinggalah kepada barangan keperluan.
Kos penghantaran dan insurans juga telah melambung memandangkan kapal berdepan risiko lebih besar ketika mengemudi di rantau terbabit, dengan kos tambahan saban kali dipindahkan kepada pengguna.
“Jika pengeluaran daripada pengeluar utama terganggu, ia akan memberikan kesan jauh lebih besar terhadap bekalan global berbanding gangguan di selat itu sahaja,” katanya.
Kesan semasa kepada Malaysia
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata semakan bersama Petronas mendapati negara mempunyai bekalan petroleum mencukupi sehingga Mei 2026. Namun, harga bahan api tempatan, terutamanya RON97, RON95 tanpa subsidi, dan diesel, melonjak mendadak.
Bagi mengurangkan beban rakyat Malaysia, kerajaan Madani mengekalkan harga bahan api bersubsidi pada paras RM1.99 seliter bagi RON95, manakala Malaysia Timur turut menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
Menurut Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, langkah tersebut melibatkan kos besar kepada kerajaan, dengan nilai subsidi bulanan Putrajaya menokok kepada RM3.2 bilion, berbanding RM700 juta sebelum ini.
Kos tenaga lebih tinggi turut menjejaskan perniagaan. Pos Malaysia telah mengenakan surcaj bahan api antara 15% hingga 40% sejak 18 Mac dengan semakan dilakukan setiap minggu. Malaysia Airlines, Firefly, dan Batik Air juga telah memperkenalkan surcaj sama.
Dengan gangguan trafik maritim global, eksport Malaysia dalam pelbagai industri mengalami kelewatan penghantaran, yang memerlukan laluan kapal diubah. Kenaikan harga bahan api juga telah melonjakkan kos logistik, sekali gus meningkatkan lagi perbelanjaan operasi.
Sepanjang bulan lalu, Malaysia, sama seperti negara lain di seantero dunia terpaksa bergelut dengan subsidi lebih tinggi, peningkatan kos perniagaan, dan gangguan terhadap kehidupan seharian.
Kerajaan telah mengambil langkah melindungi pengguna sebaik mungkin, namun ketidakstabilan berpanjangan di Timur Tengah dijangka akan terus menekan ekonomi negara.
Langkah berjimat cermat, sama ada di peringkat fiskal mahupun isi rumah, kini dilihat tidak dapat dielakkan memandangkan negara sedang mengharungi antara gangguan bekalan paling meruncing dalam sejarah moden. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.