Sunday, March 29, 2026

Paradoks petrol dan psikologi survival

 Mengapa adaptasi bukan lagi pilihan di era konflik global?

PETROL BUDI95

Dunia hari ini bukan lagi sekadar berdepan dengan ‘ribut dalam cawan’. Konflik bersenjata antara Iran dengan sekutu Amerika Syarikat dan Israel telah meledakkan bom jangka ekonomi yang selama ini kita takuti. Sejak serangan besar-besaran pada hujung Februari lalu, Selat Hormuz—nadi utama yang menyalurkan 20% bekalan minyak dan gas dunia—kini menjadi zon larangan. Impaknya? Harga minyak mentah dunia melonjak lebih 40% dalam masa kurang sebulan, mencecah paras USD120 setong. Pakar ekonomi memberi amaran keras: jika blokade ini berlarutan, kita mungkin melihat harga minyak melonjak ke USD150 setong dalam masa terdekat.

Namun, di sebalik angka ini, terdapat krisis yang lebih mendalam: krisis psikologi adaptasi. Secara psikologinya, manusia cenderung untuk berada dalam fasa ‘denial’ atau penafian apabila berdepan perubahan drastik. Kita sering berfikir, “Ah, harga minyak akan turun semula bulan depan”. Malangnya, harapan palsu ini sebenarnya membunuh persediaan kita. Menurut teori ‘cognitive dissonance’, kita mengalami tekanan mental apabila gaya hidup lama (memandu kereta mewah/peribadi) bertembung dengan realiti baharu yang pahit (kos sara hidup melambung). Untuk merawat tekanan ini, kita tidak punya pilihan selain menukar tingkah laku sebelum minda kita tumpas dalam kebimbangan yang melampau.

Kerajaan telah mula menyelaraskan kuota subsidi melalui inisiatif seperti BUDI95 yang kini mengehadkan bantuan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Ini bukan langkah politik, tetapi langkah kelangsungan hidup. Dengan inflasi sektor pengangkutan yang mula merayap naik, kita tidak mempunyai pilihan selain melakukan ‘diet bahan bakar’ yang drastik. Statistik terbaru daripada data.gov.my menunjukkan satu trend yang menarik: penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang mencatatkan lonjakan purata mingguan sebanyak 32% hingga 47% bagi laluan LRT dan MRT.

Mengapa peralihan ini sukar? Kerana bagi kebanyakan kita, kereta adalah simbol status dan ‘ruang selamat’ (safe space). Namun, psikologi ‘sunk cost fallacy’ sering memerangkap kita. Kita terus memandu kereta yang mahal penyelenggaraannya hanya kerana kita sudah membelinya, walaupun secara logiknya, menggunakan tren jauh lebih menjimatkan. Menggunakan pengangkutan awam bukan sekadar menjimatkan antara RM500 hingga RM800 sebulan, tetapi ia membebaskan kita daripada Decision Fatigue atau kepenatan mental akibat menghadap kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya.

Satu lagi anjakan psikologi yang perlu dilakukan adalah membuang stigma terhadap berjalan. Kita perlu membina semula ‘self-efficacy’ (keyakinan diri) bahawa tubuh badan kita adalah mesin yang paling efisien. Data daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan kita bahawa berjalan 7,000 hingga 10,000 langkah sehari mampu mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 47%. Dari sudut psikologi sukan, aktiviti berjalan melepaskan endorfin—ubat penenang semula jadi yang sangat diperlukan di kala berita perang Iran-Israel menghujani skrin telefon kita setiap saat. Ia adalah ‘terapi bergerak’ yang bukan sahaja menyelamatkan minyak, tetapi menyelamatkan kewarasan kita.

Bagi mereka yang memerlukan mobiliti lebih pantas, basikal muncul sebagai solusi hibrid. Trend penggunaan basikal mudah alih (portable bike) kini menghapuskan ‘hambatan psikologi’ tentang keselamatan dan ruang. Dengan basikal yang boleh dilipat dan dibawa masuk ke dalam gerabak tren, pengguna merasakan satu bentuk autonomi atau kebebasan bergerak yang tidak diberikan oleh kereta yang tersangkut dalam jem. Ini adalah tentang mengambil semula kawalan terhadap masa dan hidup kita.

Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di Tehran, Tel Aviv, atau Washington. Namun, kita mempunyai kuasa penuh untuk menukar cara kita bertindak balas. Jangan tunggu sehingga harga minyak melonjak ke paras yang tidak masuk akal baru kita mahu mencari kasut sukan atau kad Touch ‘n Go.

Lampu amaran sudah menyala merah di papan pemuka ekonomi dunia. Secara psikologinya, mereka yang paling bahagia dalam krisis bukanlah mereka yang paling kaya, tetapi mereka yang paling pantas menerima realiti dan mengubah gaya hidup. Berhenti merungut tentang harga minyak, dan mulalah melangkah. Gear kehidupan kita harus ditukar sekarang, atau kita akan terus terkandas dalam sejarah yang berulang. Untuk memastikan anda tidak terus ‘lemas’dalam krisis tenaga ini, berikut adalah langkah praktikal yang boleh diambil antaranya:

  • Audit mobiliti mingguan: Kenal pasti perjalanan yang tidak kritikal. Gunakan prinsip ‘batching’—gabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan sahaja untuk memaksimumkan penggunaan setiap liter petrol.
  • Uji cuba laluan rel: Peruntukkan dua hari seminggu untuk menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya. Secara psikologi, memulakan perubahan secara berperingkat lebih mudah diterima oleh minda berbanding perubahan drastik 100% sekali gus.
  • Pelaburan ‘batu terakhir’: Pertimbangkan untuk memiliki basikal lipat atau kasut berjalan yang berkualiti. Jadikan perjalanan dari rumah ke stesen atau pejabat sebagai sesi senaman ringan yang tidak memerlukan yuran gimnasium.
  • Aplikasi pemantauan petrol: Gunakan aplikasi kewangan untuk melihat secara visual berapa banyak wang yang anda ‘bakar’ setiap bulan untuk minyak dan tol. Melihat angka sebenar akan mencetuskan motivasi psikologi untuk berjimat.
  • Amalan berjalan berkumpulan: Cari rakan sepejabat untuk berjalan kaki atau menaiki tren bersama. Sokongan sosial (social support) adalah kunci utama dalam mengekalkan perubahan gaya hidup jangka panjang agar ia menjadi budaya, bukan bebanan.

- FMT

Penulis adalah pensyarah kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.