Dalam krisis harga minyak dunia kini kerajaan memperkenalkan polisi harga minyak negara. Ada yang baik, ada kekal subsidi dan ada pelbagai harga.

Kata aktivis media Fathi Aris Omar, PAS sudah mahu lupakan krisis menteri besar Perlis yang cukup menggelegak hujung tahun lalu. Rasanya ramai yang masih ingat krisis itu. Jadi, tak perlulah saya huraikan di sini.
Apa yang buat Fathi berkata demikian? Bagi beliau ‘buktinya’ ialah program dipanggil ‘Konvoi bersama 4 MB’ diadakan 4 April lalu bermula dari Dataran Batu Burok hingga ke pekarangan Kompleks Sukan Kuala Nerus.
Ertinya, berlangsung di Terengganu yang menteri besarnya kita semua maklum Ahmad Samsuri Mokhtar, dan empat menteri besar dalam konvoi itu ialah ketua kerajaan empat negeri pimpinan PAS/Perikatan Nasional. Yakni menteri besar Kedah, Perlis, Kelantan dan tentunya Terengganu.
Kata Fathi lagi, marah PAS akibat krisis Perlis dulu sudah dilupakan dengan program konvoi itu. “PN bawah kepimpinan Samsuri yang dilihat sebagai arkitek SG4 (state government 4) sedang tunjukkan wajah kesatuan demi PRU akan datang.”
Marah sudah dilupakan tetapi kata Fathi: “Saya tidak fikir PAS sudah lupa krisis di Perlis. Tetapi PAS tahu menyusun keutamaan. Perlis terlalu kecil buat PAS. Sasarannya Malaysia.”
‘Yes it’s all about politics and the next general election’. Meskipun kerajaan persekutuan ada sehingga 28 Feb 2028 sebelum PRU16 mesti diadakan, bak kata Amin Ishak pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT menerusi artikelnya semalam, hakikatnya Malaysia kini berada dalam fasa prakempen yang panjang.
Maka konvoi diadakan juga meskipun sehari sebelum ia berlangsung pemimpin PAS bercakap mengenai harga minyak yang boleh dibaca sebagai menyalahkan kerajaan.
Shahidan Kassim umpamanya menggesa kerajaan memberi penjelasan ‘terperinci’ berhubung kenaikan harga minyak yang katanya dilihat semakin membebankan rakyat. Setahu saya kerajaan ada membuat penjelasan tetapi mungkin tidak ‘terperinci’ yang Shahidan mahukan.
Berkata pula Mohd Amar Abdullah, naib presiden PAS mengenai lonjakan harga diesel. Menurutnya rakyat memerlukan gambaran penuh berhubung penetapan harga diesel termasuk kos sebenar ditanggung kerajaan, asas pengiraan harga mingguan serta langkah konkrit untuk menstabilkan bekalan.
Bagi beliau ‘tak cukup sekadar alasan global’. Jika Shahidan ada definisi tersendiri mengenai istilah ‘terperinci’, Amar ada definisinya mengenai ‘gambaran penuh’.
Perlu dinyatakan kedua-dua pemimpin PAS itu bercakap ‘on the sideline of’ apa dipanggil Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 diadakan 2 hingga 4 April lalu di Terengganu, dan konvoi bersama ‘4 MB’ yang disebut tadi adalah sebahagian daripada acara ijtimak. Apa kaitan konvoi dengan ijtimak?
Pada hari sama kedua-dua pemimpin PAS itu ‘berhujah’, muncul juga Mahfuz Omar naib presiden Amanah. Kata beliau pembangkang tidak sensitif terhadap realiti krisis tenaga global.
Bagi beliau, konvoi itu tindakan membazir minyak. Dalam pemimpin PAS bercakap mengenai harga minyak konvoi tetap diadakan sehari selepas mereka bercakap.
Bagi Mahfuz mereka ‘bakar subsidi rakyat’. Merujuk peserta konvoi beli minyak untuk kenderaan mereka sama ada motosikal mahupun kereta pada harga subsidi.
Beberapa hari kemudian di Sogo, Kuala Lumpur diadakan juga protes terhadap kenaikan harga minyak. Walaupun tidak ramai yang menyertainya protes dijalankan.
Kata Yusri Ibrahim ketua penyelidik Ilham Centre, negara ini mengamalkan demokrasi lantas rakyat Malaysia berhak berhimpun dan bebas bersuara yang dijamin perlembagaan. Selagi ikut undang-undang dan peraturan.
Malah, kata beliau PMX dan sebahagian besar anggota Kabinet yang ada sekarang adalah ‘alumni dan otai demonstran’ dan sebahagian besar hayat perjuangan mereka habis di jalanan termasuk demonstrasi membantah kenaikan harga minyak.
Memang betul. Cuma ketika mereka membantah dan menuding jari kepada kerajaan waktu itu, konflik antarabangsa yang berlaku mengakibatkan harga minyak naik tidak sebesar perang di Asia Barat yang kita sedang saksikan sekarang.
Apa pun oleh kerana hakikatnya (meminjam kata-kata Amin) Malaysia kini berada dalam fasa prakempen yang panjang, harga minyak akan terus dimainkan untuk mencorak naratif pengundi sehingga PRU diadakan.
Kata Yusri dalam krisis harga minyak dunia sekarang, kerajaan telah memperkenalkan polisi harga minyak negara, ada yang baik, ada yang kekal subsidi, ada pelbagai harga.
“Jika pembangkang ada idea lain yang lebih konstruktif boleh kemukakan untuk pertimbangan bersama termasuk khalayak awam,” katanya.
Realitinya, apa yang berlaku sekarang ada dalam kalangan yang tidak ‘minat’ kerajaan menyiarkan semula di platform media sosial video ‘hari ini
menang esok harga minyak turun’ yang pernah disuarakan PMX suatu masa dahulu. Bolehlah dijangkakan video itu akan diulang berterusan.
Kata Leslie Lim kawan lama bekas wartawan – lupakan poster tradisional pilihan raya untuk ceramah, lawatan ke pasar dan kunjungan rumah ke rumah bertemu pengundi.
Sebaliknya, paparkan penjimatan hasil BUDI95. Ini katanya adalah kaedah kempen paling ‘menggigit’ buat calon Pakatan Harapan yang baru dan bercita- cita.
Kata Lim, bayangkan isi minyak RM100 yang di pam menunjukkan jumlah sebenar yakni RM215.57. Jurang 115% yang pasti menambat hati.
Melihat penjimatan RM114.57 setiap kali isi minyak pasti menarik perhatian. Kata si kawan: “One has to wonder who is the genius at Putrajaya who suggested showing both the full price and the rakyat’s price on the same receipt? It’s political branding at it’s most brilliant”.
Tanya saya ‘will there more such brilliant political branding?’ - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.