Antara aspek perlu diberi perhatian termasuk penelitian trend pencapaian SPM negeri dan penilaian keberhasilan program intervensi sedia ada.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aspek pertama melibatkan penelitian trend pencapaian SPM negeri itu bagi tahun terkini dan tahun-tahun sebelumnya secara menyeluruh, merangkumi prestasi sekolah dan mata pelajaran bagi mengenal pasti pola peningkatan yang boleh diperkukuh.
“(Aspek) kedua pemahaman terhadap variasi prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar serta antara kelompok murid berlatar belakang berbeza bagi memastikan peluang kecemerlangan dapat diperluas secara lebih inklusif.
“Ketiga, analisis calon yang memerlukan sokongan tambahan melibatkan faktor kehadiran, motivasi, disiplin, sosioekonomi dan sokongan keluarga agar intervensi yang dirancang lebih bersasar dan berkesan,” titah baginda sempena Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian, Anugerah Khas SPM 2025 dan Anugerah Cemerlang Sukan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis semalam.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, aspek keempat pula mengenai penilaian terhadap keberhasilan program intervensi sedia ada dengan meneliti impaknya dalam meningkatkan pencapaian murid dan mengenal pasti amalan terbaik untuk diperluas.
Baginda bertitah, aspek kelima membabitkan penambahbaikan berterusan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya daripada segi pendekatan pedagogi dan penggunaan modul serta pemantauan yang lebih sistematik.
Pada majlis itu, seramai 51 calon SPM 2025 menerima anugerah masing-masing, iaitu tiga penerima Anugerah Cemerlang, 10 penerima Anugerah Kepujian dan 38 penerima Anugerah Khas, selain dua penerima Anugerah Cemerlang dalam bidang sukan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.