Thursday, July 16, 2026

Adun lantikan ‘insurans’ kerajaan?

 Mereka bersidang bersama tidak mendatangkan masalah besar tetapi boleh mengundi sememangnya isu besar.

Mohsin Abdullah

Saya setuju DAP Melaka keluar kerajaan negeri selepas lulusnya pindaaan Perlembagaan yang membenarkan Adun lantikan. DAP membantah wujudnya kuasa mewujudkan Adun lantikan, dan saya setuju kerana Adun lantikan tidak perlu malah tidak bagus kerana tidak selari dengan amalan demokrasi.

Adun ialah wakil rakyat maka rakyat yang mesti memilih Adun, bukan dilantik oleh kerajaan. Rakyat memilih menerusi pilihan raya yang sering digelar pesta demokrasi.

Bukan Melaka sahaja negeri yang ada peruntukan untuk Adun lantikan atau appointed state assemblymen. Di Sabah sudah lama wujud. Selain dua negeri itu, Adun lantikan ada di Johor, Pahang dan Terengganu.

Perlembangaan negeri masing-masing membenarkan sehingga tujuh Adun lantikan di Melaka, lima di Johor, dan lima di Pahang. Di Terengganu boleh lantik maksimum empat tetapi sehingga kini tiada pelantikan. Di Sabah boleh ada enam Adun lantikan.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi, ertinya ada 28 Adun yang dipilih rakyat. DUN Sabah ada 73 kerusi, Johor 56, Pahang 42, Terengganu 32. Maknanya ada Adun mewakili setiap kawasan yang tersenarai dalam DUN masing-masing — semuanya bertanding pilihan raya dan menang atas pilihan rakyat.

Lantas apa perlunya Adun lantikan? Masih tak cukup ke mereka yang dipilih rakyat?

Saya bercakap secara am, bukan khusus negeri tertentu. Kata kerajaan di negeri yang ada Adun lantikan ini bagi menampung keperluan golongan tertentu atau minoriti. Rata-rata kerajaan negeri terbabit berpendapat Adun lantikan mereka terdiri daripada golongan profesional dengan kepakaran khusus akan atau boleh perkukuh pentadbiran negeri. Memang cantik di atas kertas tetapi bolehkah mereka beri jaminan tiada Adun lantikan daripada anggota parti politik, dan lebih tepat parti pemerintah?

Membawa saya kepada Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz. Beliau mempersoalkan dan membantah apabila kerajaan Johor membentang pindaan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (1985). Amira selaku Adun Puteri Wangsa waktu itu menggariskan tiga persoalan utama yang perlu dijelaskan kerajaan negeri iaitu kelayakan individu yang bakal dilantik Adun sama ada dalam kalangan ahli politik atau pakar tertentu, tujuan pelantikan sama ada bagi memenuhi kuota serta status elaun dan keistimewaan yang akan diterima mereka.

Satu lagi persoalan yang ditimbulkan ialah tempoh khidmat Adun lantikan terpulang kepada budi bicara kerajaan atau adakah sama seperti pelantikan senator iaitu sepenggal selama tiga tahun, dan boleh dilantik kali kedua untuk tempoh sama. Apa pun pindaan diluluskan DUN Johor pada Mei lalu dengan sokongan 2/3.

Semua kerajaan negeri yang ada peruntukan Adun lantikan menegaskan terdapat prosedur tertentu sebelum seorang dilantik Adun. Namun bagi saya, walau bagaimana bagus prosedur itu, sesiapa yang kerajaan mahu lantik akan dilantik memandangkan majoriti yang kerajaan nikmati dalam DUN.

Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong menjelaskan “kami tidak nafi keperluan mendapatkan khidmat golongan profesional dan pakar”, tetapi “mereka tidak seharusnya dilantik sebagai Adun yang mempunyai kuasa bersidang dan mengundi dalam DUN”.

Pandangan saya mereka dibolehkan bersidang bersama tidak mendatangkan masalah besar. Mereka boleh beri feedback, bawa masalah rakyat dan sebagainya. Tetapi kuasa mengundi sememangnya satu isu besar. Jika berlaku kecemasan seperti ada usul undi tidak percaya terhadap menteri besar atau ketua menteri, Adun lantikan boleh membantu sebagai ‘penyelamat’. Pasti mereka akan menyokong ketua kerajaan yang melantik mereka dalam situasi begitu. Orang berbudi kita berbahasa lah katakan. Dalam keadaan begini, Adun lantikan boleh dianggap bagai backup plan atau ‘insurans’ untuk government of the day. Sekadar contoh.

Saya lihat ini bertentangan amalan demokrasi. Kalau ini gayanya buat apa ada pilihan raya? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.