Tidak mustahil jika sudah ada orang Negeri Sembilan mula berkata 'kamu ajak kita bersatu kamu sendiri tak bersatu'.

Bagi gabungan politik yang bawa seruan ‘Melayu bersatu’ dan ‘penyatuan ummah’ lalu menang pilihan raya kerananya, apa yang sedang berlaku membabitkan BN-PN di Negeri Sembilan agak ‘tak topek’. Itu loghat Nogori bererti tak kemas atau tak elok dipandang.
Iyalah, di mana perpaduan dan penyatuan apabila Rais Yatim mempertikai pelantikan menteri besar dan tuduh orang luar masuk campur urusan adat Negeri Sembilan?
Rais orang Wawasan. Menteri Besar Ismail Lasim orang Umno. Dan ‘orang luar’ yang Rais maksudkan juga orang Umno. Wawasan duduk dalam Perikatan Nasional yang sedang berkawan baik dengan Barisan Nasional, yang dalamnya ada Umno. Jadi taklah nampak perpaduan dan penyatuan BN-PN walaupun gabungan itu berkempen mengajak orang Melayu bersatu sekali gus menyatukan umat Islam.
Tidak mustahil jika sudah ada orang Negeri Sembilan mula berkata “kamu ajak kita bersatu kamu sendiri tak bersatu”, walaupun saya sendiri tidak atau belum lagi mendengarnya.
Tindakan Rais menyukarkan Presiden Wawasan Hamzah Zainudin. Macam mana nak bersemuka dengan Zahid Hamidi setelah orang kuat parti sendiri tuduh si presiden Umno masuk urusan adat Negeri Sembilan. Berpeluh jugalah nak explain kepada Zahid. Itu satu bab.
Satu lagi bab melibatkan watak utama krisis politik negeri yang tercetus April lalu, iaitu Jalaludin Alias. Beliau tidak hadir upacara angkat sumpah jawatan menteri besar seperti ditulis semalam. Alasan beliau terima undangan lewat dan sudah ada acara diatur terlebih dahulu.
Bertanya seorang kawan, anak jati Negeri Sembilan melalui WhatsApp, “jemputan istana versus majlis lain di kawasan?”. Dikatakan ada lagi Adun Umno yang tidak hadir. Ini bab Umno tak bersatu dengan Umno gayanya, lebih-lebih lagi Jalaluddin ketua Umno Negeri Sembilan.
Dalam pada Jalaluddin menggesa seluruh parti dan rakyat memberi sokongan penuh kepada Ismail Lasim selaku menteri besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan, beliau juga dilaporkan tidak menawarkan diri untuk dilantik ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pendek kata tak mahu jadi exco. Ismail pula dilapor berkata terpulang kepada si ketua Umno negeri itu.
Pelantikan exco membawa kepada bab tiga. Benar kata penganalisis politik yang saya petik untuk artikel semalam: “Kerusi exco perlu mengimbangi pelbagai kem politik untuk mengelakkan sebarang tindak balas atau backlash seawal minggu pertama. Menteri besar tidak boleh sekadar bergantung kepada majoriti DUN semat-mata”.
Seawal 3 Ogos PN sudah letak keyakinan akan jadi sebahagian exco, begitu kata Timbalan Pengerusi PN Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS. Sudah ada tekanan?
Sehari kemudian respons menteri besar ialah selain Adun PAS dan Wawasan akan turut mengisi jawatan exco. Tidak ada masalah. Bagaimanapun beliau akan bincang dengan Zahid — maklumlah presiden partinya.
Ismail juga beritahu media bahawa kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan timbalan exco bagi memperkukuh pentadbiran. Ini langkah untuk memuaskan hati atau mengambil hati semua pihak. Ismail dipetik media sebagai berkata:
“Sebab kita ramai kan? Dan mungkin tak boleh nak accommodate semua orang dalam barisan. Jadi, kita mungkin akan mewujudkan (timbalan exco) di dalam beberapa portfolio yang saya fikirkan penting.”
Ingat masa Onn Hafiz Ghazi si menteri besar Johor lantik 10 timbalan exco pada Julai lalu selepas menang besar PRN? Itu merupakan kali pertama pelantikan seumpama itu dilakukan. Onn juga kata untuk memperkukuh pentadbiran.
Namun tindakan itu dibantah pelbagai pihak yang melihat pelantikan itu membazir, tak berasas dan tersasar. Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menegaskan pelantikan timbalan exco tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini faktor penting tetapi tidak diendah Onn dan kerajaan Johor.
Saya rasa hujah bantah sedemikian is applicable to Negeri Sembilan.
Untuk berlaku adil saya ulangi Ismail sedang mempertimbangkan. Oleh itu wajar beliau teliti semua bantahan di Johor dulu khususnya yang dihujah Hassan kerana ia berkait perlembagaan.
Apa pun sudah ada suara memerli, antaranya diluahkan Ketua Operasi Ilham Centre Azlan Zainal di Facebok. Beliau anak jati Negeri Sembilan. Post beliau berbunyi: “Alhamdulillah peluang pekerjaan baru”. Siap emoji doa tanda kesyukuran.
Kamarulzaman Zainal, bekas setiausaha akhbar kepada perdana menteri ke lima, Abdullah Ahmad Badawi, merujuk sinis manifesto BN pada PRN lalu. Beliau juga orang Negeri Sembilan. Kata beliau di Facebook:
“50,000 kerja bakal wujud di N9. Buat permulaan diisi Timbaan Exco. Jika cadangan lulus.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.