Friday, August 14, 2026

Asyraf mohon doa 2 pelajar MRSM Alor Gajah hilang ditemu selamat

 Pengerusi Mara itu berharap dua pelajar yang hilang sejak 11 Ogos lalu kembali semula ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Polis berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad oleh guru mereka pada 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki memohon orang ramai mendoakan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu ditemukan semula dengan selamat.

Asyraf dalam satu hantaran di Facebook berharap dua pelajar berkenaan Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.

“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata pihaknya menerima laporan dibuat guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja berusia 16 tahun itu 10.46 malam, 11 Ogos lalu.

Katanya, Siti Nur Aaira yang beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor, mempunyai ketinggian 157sm dengan berat 50kg dan berkulit cerah.

“Nur Aisy Humaira berasal dari Bukit Sentosa, Rawang, Selangor mempunyai ketinggian dan berat sama serta berkulit gelap,” katanya dalam kenyataan lapor Berita Harian.

Katanya, polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua remaja terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial poster hebahan yang meminta bantuan orang ramai mengesan pelajar hilang berkenaan dengan lokasi terakhir mereka dilihat ialah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.