Friday, August 14, 2026

BN Pahang mahu kekal kerajaan perpaduan bersama PH hingga PRU16

 Pengerusi Wan Rosdy Wan Ismail yang juga menteri besar Pahang berkata pihaknya terus komited menjalankan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri.

Wan Rosdy Wan Ismail
Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berharap kerajaan perpaduan kekal sehingga PRU16. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Barisan Nasional (BN) Pahang berpendirian untuk mengekalkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga PRU16, kata Pengerusi Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga menteri besar Pahang berkata, pihaknya terus komited menjalankan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Kita (akan) bincang…saya harap kita (kerajaan perpaduan) akan dapat kekal sehingga PRU16,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

PRU15 menyaksikan BN dan Perikatan Nasional masing-masing memperoleh 17 kerusi DUN, manakala PH mendapat lapan. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.


Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata BN Pahang terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU16 kelak.

Mengenai majlis itu, beliau berkata pihaknya menyalurkan peruntukan sebanyak RM118,000 kepada 118 pelajar institusi pengajian tinggi sebagai persiapan mereka melanjutkan pengajian di Mesir dan New Zealand, bulan ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga menyalurkan USD1,000 menerusi Yayasan Pahang kepada pelajar yang akan meneruskan pengajian di Jordan dan Maghribi.

Beliau berkata, Inisiatif Makmur Pahang itu tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya terus diperluas dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita juga melihat kepada sukatan pelajaran dan kursus ditawarkan. Antara perkara diambil kira ialah kursus yang mempunyai elemen Islamik serta bidang pengajian bersesuaian,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.