Sunday, August 16, 2026

Didakwa amang seksual pelajar, guru direman 6 hari

 Polis berkata mangsa mendakwa guru terbabit sudah beberapa kali melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.

handcuff
Polis berkata guru lelaki yang mengajar di sekolah menengah sama ditahan Khamis lalu dan direman enam hari hingga 19 Ogos ini. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang guru ditahan bagi membantu siasatan ke atas dakwaan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pelajar sekolah menengah daerah itu pada 4.04 petang 12 Ogos lalu.

Menurutnya, pelajar itu dalam laporannya memaklumkan seorang guru melakukan amang seksual fizikal terhadapnya di sekolah kira-kira 10.15 pagi 10 Ogos lalu.

Katanya, mangsa turut mendakwa guru terbabit sudah beberapa kali melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.

Susulan itu, jelasnya, guru lelaki yang mengajar di sekolah sama ditahan kira-kira 11.10 pagi 13 Ogos lalu.

“Permohonan reman terhadap suspek telah diperoleh di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tempoh reman enam hari bermula 14 hingga 19 Ogos,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.