Tuesday, August 4, 2026

Kementerian, agensi berkaitan diarah beri keutamaan selesai baki isu MA63

 Arahan dikeluarkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Menteri Sabah dan Sarawak Mustapha Sakmud.

Mustapha Sakmud
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata mesyuarat hari ini meneliti status terkini pelaksanaan dan kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua kementerian dan agensi berkaitan diarah memberi keutamaan menyelesaikan baki isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Arahan dikeluarkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, di Putrajaya, hari ini.

Mustapha diberi mandat oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof selaku pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang sedang menjalani rawatan kesihatan, untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

Mustapha berkata, mesyuarat itu meneliti status terkini pelaksanaan dan kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bulan depan.

Selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara dipersetujui di bawah MA63, katanya, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemaskan melalui platform MTPMA63, termasuk hal berkaitan inisiatif ‘borneonisasi’ perkhidmatan awam serta usaha menutup kesenjangan perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan jawatankuasa teknikal membuktikan banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, antara perkembangan penting direkodkan termasuk peningkatan pemberian khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi 2026, selain kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak pada 21 Julai lalu.

“Kedua-dua pencapaian ini membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah kerajaan Madani bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.